Peruntukan KPKT akan turut diumum di Johor - Akmal Nasrullah

Politics
24 Jun 2023 • 9:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Akmal Nasrullah (kiri), turut menyertai acara berbasikal sejauh lima kilometer sempena program berkenaan.

JOHOR BAHRU – Peruntukan dana RM200 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk 41 projek di Pulau Pinang pada Sabtu, akan turut menyusul di Johor, kelak.

Menurut Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, perkara itu telah diumumkan dalam Dewan Negara minggu lalu dan perincian mengenainya akan dilakukan dengan kerajaan Johor.

“Peruntukan berkenaan sebenarnya merangkumi segala projek di bawah KPKT di Pulau Pinang, terutamanya projek PPR sehingga mencecah 1,000 unit.

“Kalau ikutkan memang RM200 juta itu merangkumi segala projek di bawah KPKT yang terkait di Pulau Pinang sehingga mencecah 1,000 unit pengumuman rasmi itu juga akan menyusul di Johor.

“Seperti mana kita umumkan dalam Dewan Negara minggu lepas, kita akan wujudkan dua projek PPR di Johor; satu di Johor Bahru dan satu lagi di Kluang dan libatkan 1,000 unit juga.

“Perincian mengenainya kita akan lakukan dengan kerajaan negeri dan setakat ini perbincangan mengenainya sangat positif,” katanya pada sidang media sempena program Program larian Lestari Fun Run and Ride di sini, pada Jumaat.

Akmal Nasrullah berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Sabtu berhubung peruntukan dana RM200 juta bagi menaik taraf infrastruktur awam termasuk membina 1,000 unit PPR di Pulau Pinang.

Mengulas peruntukan berjumlah RM23 juta yang diumumkan KPKT sebelum ini bagi menaik taraf infrastruktur awam di Johor, beliau berkata, kerja-kerja bagi projek menaik taraf telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peruntukan yang diumumkan itu, sebagai contoh adalah untuk menyelenggara 28 kolam takungan air di seluruh Johor dan kita telah serahkan kepada PBT bagi menguruskan projek tersebut.

“Oleh itu, kita amat mengharapkan agar proses bagi kerja-kerja menaik taraf itu dapat berjalan dengan baik,” katanya.