Peruntukan pendidikan perlu disertai pelaksanaan berkesan

10 Oct 2026 • 2:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peruntukan pendidikan perlu disertai pelaksanaan berkesan

PETALING JAYA: Pertambahan peruntukan pendidikan menerusi Belanjawan 2027 perlu disertai pelaksanaan berkesan dan ukuran keberhasilan yang jelas bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat.

Presiden Pertubuhan Asas Bina Negara (Asabina), Rosdi Amir berkata, perbelanjaan pendidikan perlu meningkatkan mutu pembelajaran, memperkasa pendidik serta merapatkan jurang peluang antara kelompok masyarakat.

Menurutnya, keutamaan di peringkat sekolah perlu diberikan kepada penguasaan membaca, menulis dan mengira.

Katanya, murid yang menghadapi kesukaran pembelajaran perlu dikenal pasti lebih awal serta diberikan bimbingan bersesuaian supaya kelemahan asas tidak berlarutan hingga menjejaskan peluang melanjutkan pengajian.

“Usaha ini mesti bergerak seiring dengan penambahbaikan prasarana. Sekolah daif, khususnya di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak serta komuniti Orang Asli, perlu diberikan perhatian berdasarkan tahap keselamatan dan keperluan sebenar.

“Bekalan utiliti, tandas, bilik darjah yang selamat dan capaian internet yang berfungsi merupakan keperluan asas untuk pembelajaran berkualiti,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Rosdi berkata, bantuan pendidikan perlu mengambil kira kos pengangkutan, makanan, peranti dan capaian internet yang ditanggung keluarga bagi meningkatkan kehadiran serta mengurangkan keciciran murid.

Beliau berkata, terdapat juga keperluan memperkukuh latihan profesional guru dan menyelaraskan beban pentadbiran serta pelaporan supaya mereka mempunyai masa mencukupi untuk mengajar dan membimbing murid.

Menurutnya, kenaikan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM150 kepada RM200 sebulan pula perlu dilengkapi dengan guru terlatih, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), bahan pembelajaran bersesuaian serta sokongan kepada keluarga.

Bagi peringkat pengajian tinggi, beliau berkata, bantuan mahasiswa perlu mengambil kira kos sebenar makanan, penginapan, pengangkutan, peranti digital dan bahan pembelajaran, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Pembiayaan pendidikan dan kaedah pembayaran balik pinjaman juga wajar mengambil kira kemampuan sebenar graduan, dengan syarat serta proses permohonan yang jelas.

“Latihan industri berbayar wajar diperluas supaya mahasiswa kurang berkemampuan turut dapat memperoleh pengalaman kerja yang bernilai.

“Penilaian kebolehpasaran graduan pula perlu mengambil kira kesesuaian pekerjaan dengan kelayakan, tahap pendapatan dan perkembangan kerjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Rosdi berkata, pencegahan buli, sokongan kesihatan mental dan saluran aduan yang selamat perlu diberikan sumber mencukupi di sekolah serta institusi pengajian tinggi.

“Oleh itu, saya menyeru supaya kemajuan projek pendidikan dan keberhasilan program dilaporkan secara berkala bagi memastikan pelaksanaannya telus serta berakauntabiliti.

“Perolehan perlu telus, mutu kerja mesti dipantau dan kelewatan hendaklah ditangani segera,” katanya. – UTUSAN

The post Peruntukan pendidikan perlu disertai pelaksanaan berkesan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved