
PUTRAJAYA: Cadangan mewujudkan Tabika Perpaduan khusus untuk kanak-kanak autisme memerlukan perbincangan lanjut dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pelaksanaan program khas berkenaan perlu mengambil kira dasar pendidikan negara yang berada di bawah bidang kuasa KPM.
Katanya, Kementerian Perpaduan Negara ketika ini mempunyai tadika dan Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
“Program khas seperti itu perlu ada perbincangan yang lebih lanjut dengan pihak Kementerian Pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Perpustakaan Negara Malaysia di sebuah sekolah, di sini hari ini.
Menurutnya, segala pelaksanaan program berkaitan pendidikan yang dilaksanakan kementeriannya tertakluk kepada dasar-dasar pendidikan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Tabika Perpaduan bagi menggalakkan perkembangan dan interaksi dalam kalangan kanak-kanak. – UTUSAN
The post Tabika Perpaduan khas autisme perlu perbincangan dengan KPM appeared first on Utusan Malaysia.





