
Kota Kinabalu: Peruntukan Belanjawan Persekutuan 2027 sebanyak RM18.7 bilion untuk Sabah tidak akan memberi banyak makna kepada masyarakat terjejas jika krisis bekalan air, bekalan elektrik yang tidak stabil dan jalan luar bandar yang rosak kekal tidak diselesaikan.
Johari Suhaimin (gambar), Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ujian sebenar adalah sama ada peruntukan kewangan terbabit mampu menghasilkan keputusan nyata di peringkat akar umbi.
Johari berkata jumlah besar yang diumumkan itu tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai dana yang disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri atau wang yang diperuntukkan sepenuhnya untuk projek pembangunan baharu.
Katanya, peruntukan itu turut merangkumi perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan termasuk gaji penjawat awam dan kos pengoperasian kementerian serta jabatan, selain perkhidmatan awam seperti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Perbezaan ini penting, katanya, kerana keberkesanan Belanjawan 2027 mesti diukur menerusi keupayaannya menangani masalah infrastruktur berpanjangan di Sabah serta menambah baik perkhidmatan awam.
“Apa yang lebih penting adalah memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih baik dan penyelesaian kepada masalah asas yang masih menjejaskan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Johari berkata keluasan geografi Sabah serta kos pembinaan infrastruktur yang tinggi memerlukan perancangan pembangunan yang mencerminkan keperluan sebenar negeri.
Bagaimanapun, cabaran-cabaran ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghalalkan kelewatan pelaksanaan projek atau kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan, tegasnya.
Beliau menggesa penyesuaian dan koordinasi yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri disertai sasaran projek yang jelas, pemantauan pelaksanaan secara sistematik serta ketelusan yang lebih tinggi dalam perbelanjaan awam.
Rakyat, katanya, berhak mendapat penjelasan mengenai bagaimana peruntukan digunakan dan sama ada projek yang dibiayai benar-benar memberikan penambahbaikan ketara kepada kehidupan seharian mereka.
Johari turut menegaskan bahawa hak perlembagaan Sabah terhadap geran khas berasaskan 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperolehi dari negeri ini mesti dikendalikan secara berasingan daripada peruntukan tahunan Belanjawan Persekutuan.
Beliau berkata, geran khas terbabit mempunyai asas perlembagaannya yang tersendiri di bawah Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Penyelesaian isu berkenaan adalah penting bagi memberikan kepastian fiskal yang lebih kukuh kepada Sabah sekali gus membolehkan Kerajaan Negeri merancang pembangunan secara lebih teratur dan mampan, tambah beliau.
Johari berkata ukuran mutlak bagi Belanjawan 2027 bukannya bergantung pada angka bilion yang diumumkan sebaliknya pada pembangunan yang direalisasikan, perkhidmatan yang ditambah baik serta masalah asas rakyat Sabah yang akhirnya berjaya diselesaikan.






