sarah16/11/2026 - 15:05 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - Peruntukan RM21.3 bilion dalam Belanjawan 2027 bagi sektor infrastruktur membuka peluang kepada HSS Engineers Bhd (HSS Engineers) untuk mendapatkan projek baharu, khususnya dalam pembangunan jalan raya, pengangkutan rel, bekalan air dan infrastruktur digital.
Peruntukan tersebut meliputi pembinaan jalan raya dan lebuh raya, pengangkutan rel, bekalan air, tebatan banjir, pembetungan serta infrastruktur digital kerajaan, yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan Persekutuan sebanyak RM83 bilion bagi tahun depan.
Bagaimanapun, jumlah RM21.3 bilion itu bukan nilai kontrak yang telah diperoleh HSS Engineers, sebaliknya peruntukan kerajaan dalam sektor berkaitan yang berpotensi menawarkan peluang perniagaan kepada kumpulan berkenaan.
Buku tempahan RM2.24 bilion sehingga 2033
HSS Engineers kini mempunyai buku tempahan belum dibilkan sebanyak RM2.24 bilion, paras tertinggi dalam tempoh enam suku tahun, dengan pelaksanaan kontrak sedia ada menjangkau sehingga 2033. Kumpulan itu turut mempunyai tender aktif bernilai kira-kira RM520 juta.
Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, HSS Engineers memperoleh tempahan baharu berjumlah RM242 juta, termasuk kontrak baharu RM221 juta dan perubahan skop kerja bernilai RM21 juta, bersamaan 81% daripada sasaran tahunan RM300 juta.
Keuntungan meningkat hasil kerja reka bentuk kejuruteraan
Dari segi prestasi kewangan, keuntungan selepas cukai HSS Engineers bagi sembilan bulan pertama 2026 meningkat 31.2% kepada RM17.4 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala hasil kekal hampir mendatar pada RM157.9 juta berbanding RM156.4 juta sebelumnya.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 pula, keuntungan selepas cukai meningkat 34.7% kepada RM7.1 juta, disokong pertumbuhan hasil sebanyak 20.7% kepada RM56.9 juta. Margin keuntungan kasar turut meningkat kepada 36.7%, berbanding 34.2% pada suku kedua.
Peningkatan keuntungan itu didorong oleh sumbangan lebih besar daripada kerja reka bentuk kejuruteraan, termasuk projek pembesaran Westports 2 di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Hasil segmen tersebut melonjak kepada RM27.7 juta pada suku ketiga berbanding RM7.6 juta setahun sebelumnya.
Projek solar 125MW dijangka mula beroperasi pada 2027
Selain projek infrastruktur konvensional, HSS Engineers sedang memperluas sumber pendapatannya melalui pembangunan projek solar berkapasiti keseluruhan 125 megawatt (MW) di bawah HEB Energy, yang telah mencapai pemuktamadan pembiayaan dan kini dalam pembinaan, dengan operasi komersial disasarkan bermula pada 2027.
Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, pertumbuhan keuntungan mencerminkan peralihan kepada kerja reka bentuk kejuruteraan bernilai lebih tinggi, manakala buku tempahan sedia ada dan peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, pusat data serta penyelesaian digital dijangka menyokong pertumbuhan kumpulan pada masa depan.- DagangNews.com






