Terengganu bentang Belanjawan 2027 sebanyak RM1.983 bilion dengan lebihan hasil 5%

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Terengganu bentang Belanjawan 2027 sebanyak RM1.983 bilion dengan lebihan hasil 5% Image from: Terengganu bentang Belanjawan 2027 sebanyak RM1.983 bilion dengan lebihan hasil 5% liza16/11/2026 - 12:23 Ahmad Samsuri menunjukkan dokumen Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada Persidangan DUN Terengganu hari ini - Gambar Sekretariat Akhbar Menteri Besar Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 16 Nov – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.983 bilion dalam Belanjawan 2027 yang menyaksikan negeri itu mencatatkan belanjawan lebihan (surplus) sebanyak 5% dengan keseluruhan hasil dianggarkan RM2.088 bilion.

 

Perbelanjaan Mengurus itu termasuk caruman RM450 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi menyokong pelaksanaan agenda pembangunan negeri.

 

Bagi Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak RM450 juta diperuntukkan dengan sektor sosial menerima bahagian terbesar iaitu RM346 juta atau 77% daripada keseluruhan peruntukan berkenaan.

 

Sektor ekonomi pula menerima RM82 juta atau 18%, manakala sektor pentadbiran diperuntukkan RM22 juta atau 5%.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri turut menganggarkan hasil janaan negeri berjumlah RM361.06 juta, merangkumi RM86.3 juta daripada hasil cukai dan RM274.76 juta daripada hasil bukan cukai.

 

“Selain itu, terimaan bukan hasil dianggarkan berjumlah RM1.726 bilion, menjadikan keseluruhan hasil negeri sebanyak RM2.088 bilion dengan lebihan sebanyak 5%,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

 

Belanjawan 2027 bertemakan “Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera” itu turut menggariskan lima fokus utama merangkumi pengukuhan tadbir urus dan fiskal negeri, pertumbuhan ekonomi, pembangunan pelancongan, pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat.

 

Kurangkan kebergantungan kepada petroleum

Beliau berkata kedudukan kewangan Terengganu perlu mengambil kira ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global, termasuk perubahan pasaran tenaga serta peningkatan kos sara hidup.

 

“Kerajaan negeri mahu memperkukuh sumber pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan pelaburan swasta, pengukuhan rantaian nilai domestik serta penerokaan peluang ekonomi baharu bagi mewujudkan pendapatan dan pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

 

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengubah pendekatan menarik pelaburan daripada sekadar menunggu kehadiran pelabur kepada usaha lebih agresif mencari pelabur berpotensi, dengan mengetengahkan kelebihan negeri dari segi sumber bahan mentah, tenaga kerja mahir, kemudahan utiliti serta akses eksport melalui Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan,” katanya.

 

Tumpuan kepada sektor ekonomi dan pelancongan

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan pembangunan sektor mineral bernilai tinggi melalui pembentukan ekosistem industri hiliran bagi memastikan nilai tambah daripada sumber berkenaan kekal di Terengganu.

 

“Sektor pertanian turut diberikan perhatian selepas merekodkan pertumbuhan 4.2% pada 2025 dengan nilai tambah sebanyak RM3.1 bilion, sekali gus meletakkan Terengganu pada kedudukan kedua tertinggi di Malaysia berbanding pertumbuhan purata nasional 2.2%.

 

“Bagi sektor pelancongan, Terengganu menyasarkan kehadiran 15 juta pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu 2027 menerusi penganjuran 17 acara utama dan lebih 100 acara sampingan sepanjang tahun.

 

“Kerajaan negeri turut meneruskan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk Program RAHMAT bagi membantu pembinaan rumah mampu milik di atas tanah sendiri, Program Kad Sejahtera Fasa 6, Wad Kelas Ketiga Percuma serta pengenalan Bantuan Khairat Kematian,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved