liza28/10/2026 - 12:39 Gambar hiasan - KKR Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt – Kementerian Kerja Raya memerlukan peruntukan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion bagi menyelenggara jalan Persekutuan di seluruh negara, hampir dua kali ganda daripada peruntukan semasa sebanyak RM3 bilion.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kekurangan peruntukan itu menjejaskan keupayaan kerajaan melaksanakan kerja menurap semula jalan secara menyeluruh dan keutamaan diberi kepada laluan yang mengalami kerosakan teruk.
“Isu penyelenggaraan jalan terus menjadi cabaran setiap tahun kerana kekangan dana yang dihadapi.
“Kita tidak dapat menurap semula semua jalan. Penyelenggaraan masih menjadi masalah setiap tahun dan kita hanya dapat menurap semula kawasan yang berada dalam keadaan paling teruk,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang meminta kerajaan mempertimbangkan peruntukan khas bagi menangani isu kualiti permukaan jalan di seluruh negara di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad berkata, kementerian berharap memperoleh peruntukan tambahan bagi memastikan kerja penyelenggaraan jalan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
RM832,000 untuk 83 lampu jalan solar di Bentong
Dalam perkembangan berasingan, kerajaan meluluskan peruntukan RM832,000 bagi pemasangan 83 lampu jalan berkuasa solar di sembilan lokasi di Bentong, Pahang, bagi meningkatkan keselamatan jalan raya menjelang operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ahmad berkata, peruntukan itu meliputi tiga lokasi di Sabai dengan kos RM254,000, tiga lokasi di Bilut sebanyak RM300,000, satu lokasi di Pelangai berjumlah RM61,000 dan dua lokasi di Ketari dengan kos RM177,000.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berhubung langkah kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya di kawasan berkenaan menjelang operasi ECRL. - DagangNews.com






