Peruntukan RM3 bilion hadkan kerja turapan jalan rosak - Ahmad

LocalPolitics
28 Oct 2026 • 11:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peruntukan RM3 bilion hadkan kerja turapan jalan rosak - Ahmad
Ahmad ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memerlukan peruntukan antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun bagi kerja penyelenggaraan jalan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak, namun hanya menerima RM3 bilion.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kekangan peruntukan menyebabkan kerja penurapan semula tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh di semua jalan yang mengalami kerosakan.

"Oleh itu tidak boleh diturap keseluruhan jalan (rosak) kembali, hanya boleh menurap kawasan-kawasan yang ada masalah lubang kecil-kecil dan besar.

"Sudah tentulah kita perlu menyelesaikannya dalam tempoh kurang dari 24 jam," katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN - Kuala Krai) mengenai kualiti keselamatan jalan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dijangka menampung limpahan trafik pengguna Transit Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mengalami kegagalan struktur premik di kedua-dua arah.

Dalam pada itu Ahmad menjelaskan, isu kekurangan peruntukan penyelenggaraan jalan merupakan cabaran yang berulang setiap tahun, namun kerajaan turut berdepan kekangan kewangan sehingga tidak dapat memenuhi sepenuhnya permohonan peruntukan dikemukakan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pontian itu berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan tambahan bagi membolehkan kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan dengan lebih sempurna.

"KKR masih menjalankan penilaian secara terperinci terhadap setiap lokasi jalan yang mengalami kerosakan bagi memastikan tindakan pembaikan dibuat berdasarkan penilaian objektif.

"Sudah tentu penggunaan bahan turapan berkualiti bagi memastikan kerja pembaikan jalan memenuhi standard yang ditetapkan," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved