
PETALING JAYA – Peruntukan yang disalurkan kepada sekolah menerusi Program Reformasi Sekolah bukan sekadar bertujuan mencantikkan fizikal atau meningkatkan nilai kosmetik institusi pendidikan, sebaliknya perlu memberi impak kepada kualiti pengajaran, kesihatan mental dan kesejahteraan warga sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, reformasi sebenar tidak diukur berdasarkan bilangan mural atau kemudahan fizikal yang dibina, tetapi bermula apabila budaya kerja, ekosistem dan mentaliti seluruh warga sekolah berubah ke arah yang lebih baik.
Katanya, perkara itu ditegaskan ketika sesi libat urus bersama semua sekolah di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang terlibat dalam Program Reformasi Sekolah.
“Setiap ringgit yang disalurkan perlu memberi impak kepada perkara yang paling utama iaitu memperkukuh pedagogi, memperkasa kesihatan mental serta meningkatkan kesejahteraan seluruh warga sekolah.
“Apabila guru lebih bersedia, murid lebih bersemangat dan sekolah menjadi lebih sejahtera, di situlah nilai sebenar reformasi dapat dirasai,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan program itu dimulakan secara berperingkat melibatkan 10 buah sekolah bagi setiap daerah sebagai langkah awal.
“Saya yakin dengan kepimpinan yang berwawasan, langkah kecil hari ini akan berkembang menjadi lebih besar pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Peruntukan sekolah bukan untuk cantikkan bangunan semata-mata appeared first on Kosmo Digital.






