Peruntukan selenggara sekolah: KPM terima 670 permohonan sejak 1 November - Fadhlina

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 10:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peruntukan selenggara sekolah: KPM terima 670 permohonan sejak 1 November - Fadhlina
Fadhlina

KUALA LUMPUR - Sebanyak 670 permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah telah diterima Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara dalam tempoh seminggu, selepas Saluran Khas PIBG KPM dibuka pada 1 November.

Menterinya, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, sambutan yang diterima itu, menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah demi keselesaan murid.

"Saya gembira melihat sambutan ini. Ia menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah, demi keselesaan anak-anak kita,” katanya menerusi hantaran itu.

Beliau berkata, KPM mahu melihat PIBG memainkan peranan lebih besar, sebagai rakan strategik kementerian dalam usaha menambah baik ekosistem pendidikan negara.

Fadhlina berkata, ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah setiap hari, turut mempunyai pandangan mengenai perkara yang perlu diberikan perhatian dan ditambah baik di sekolah.

Dalam pada itu, beliau berkata, permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah menerusi saluran khas berkenaan masih dibuka sehingga 30 Nov dan PIBG yang belum mengemukakan permohonan, masih berpeluang berbuat demikian.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2 bilion kepada KPM menerusi Belanjawan 2027, bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah di negara ini. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved