Perusahaan diterajui wanita raih potensi jualan eksport RM229 juta

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 12:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perusahaan diterajui wanita raih potensi jualan eksport RM229 juta

PETALING JAYA: Perusahaan yang diterajui wanita berjaya meraih potensi jualan eksport sebanyak RM229 juta menerusi sesi padanan perniagaan dan pameran selama empat hari di Pavilion Women in Export (WiEX) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sebanyak 215 sesi pertemuan perniagaan menghubungkan usahawan wanita tempatan dengan pembeli dan pengedar dari Mesir, Kazakhstan, Uzbekistan, China, Hong Kong, Thailand, Indonesia serta Myanmar.

Syarikat milik wanita dari Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang mendahului nilai jualan dengan jumlah gabungan RM129.84 juta bagi produk konfeksi, snek, kopi, teh, koko serta pakaian sukan.

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata,u sahawan wanita memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara.

“Menurut Banci Ekonomi 2023 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), wanita memiliki 20.1 peratus perniagaan di Malaysia, menjana nilai output RM136.9 bilion dan menyediakan pekerjaan kepada hampir sejuta orang.

“Namun, masih terdapat ruang untuk meningkatkan kesiapsiagaan eksport.

“Oleh itu, Matrade meneruskan inisiatif WiEX bersama Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia) yang dipengerusikan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kejayaan dalam era Industri 5.0 tidak lagi ditentukan oleh teknologi tinggi semata-mata, sebaliknya turut bergantung pada sentuhan kemanusiaan.

“Perniagaan perlu melangkaui keuntungan dan memberikan sumbangan bermakna kepada kesejahteraan pekerja, komuniti serta masyarakat.

“Sebagai pemimpin dan usahawan wanita, kita mesti memastikan kemajuan teknologi diseimbangkan dengan nilai yang inklusif, beretika dan berteraskan integriti,” katanya.

Forum WiEX 2026 menghimpunkan lebih 300 peserta bagi perkongsian pengetahuan bertemakan ‘Berkembang dalam Ketidaktentuan: Menyesuaikan Diri, Bersaing dan Berkembang’.

Forum itu menampilkan pemimpin industri dan pengasas perniagaan yang berkongsi strategi pengembangan pasaran antarabangsa, termasuk piawaian perolehan peruncitan, usaha mengekalkan kualiti, pematuhan peraturan serta pengurusan rantaian bekalan.

Matrade akan terus bekerjasama dengan HAWA Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) serta rakan perdagangan antarabangsa bagi mengangkat jenama ‘Made by Malaysia’ di peringkat global. – UTUSAN

The post Perusahaan diterajui wanita raih potensi jualan eksport RM229 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved