
HATI ayah mana yang tidak remuk apabila melihat anak pulang ke rumah dalam keadaan menahan sakit? Itulah situasi yang dilalui pelakon Ako Mustapha apabila anak lelakinya, Mikael Iskandar yang baru berusia 10 tahun, didakwa menjadi mangsa buli di sekolah.
Dalam perkongsian di Threads miliknya, Ako meluahkan rasa marah dan kecewa apabila mendakwa anaknya diperlakukan kasar oleh sekumpulan pelajar, termasuk pelajar senior dan rakan sekelas sendiri.
Insiden yang dipercayai berlaku sehari sebelum itu meninggalkan kesan fizikal pada tubuh anak lelakinya, termasuk kesan tumbukan dan tapak kasut di bahagian perut.
“Hari ini memang saya marah. Anak saya dibuli oleh lima pelajar termasuk tiga pelajar senior dan rakan sekelas.
"Pada bahagian perut ada kesan tapak kasut dan tumbukan,” kongsinya sambil memaklumkan laporan polis telah dibuat.
Lebih menyayat hati, perkara tersebut hanya diketahui selepas Mikael pulang dari sekolah dan menceritakan sendiri kepada bapanya.

Ketika itu, Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha menyedari terdapat kesan lebam pada tubuh anaknya selepas mandi.
“Bila dia balik, dia beritahu kena buli. Lepas mandi dan lap badan, saya nampak kesan pada perut. Dari situ saya tanya dan dia cerita satu persatu,” ujarnya.
Sebagai langkah awal, bapa kepada empat cahaya mata itu turut merakam gambar dan video kesan kecederaan tersebut sebelum dihantar kepada guru kelas untuk tindakan lanjut.
Mengadu sakit
Tindakan pantas berkenaan penting, bukan sahaja sebagai bukti, tetapi juga bagi memastikan keselamatan anaknya terus terjamin.
Keadaan Mikael yang mengadu sakit di bahagian perut dan dada membuatkan Ako tidak berlengah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Difahamkan, Mikael kini ditahan di wad untuk pemantauan lanjut.
“Anak saya mengadu sakit perut dan dada. Isteri sudah ambil gambar serta video kesan yang ada. Guru kelas juga sudah dimaklumkan dan akan siasat perkara ini,” katanya sambil menghargai kerjasama pihak sekolah.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Annas Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. Namun setakat ini, tiada kertas siasatan dibuka.
“Saya sahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju ada menerima laporan seperti dinyatakan. Buat masa ini, tiada kertas siasatan dibuka,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Semoga kes ini mendapat perhatian sewajarnya dan menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa isu buli bukan perkara kecil.
Ia melibatkan emosi, keselamatan dan masa depan seorang anak.





