Perut Masih Buncit Walau Rajin Bersenam? Ini Sebabnya

Health & Fitness
15 Jan 2026 • 5:47 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Perut Masih Buncit Walau Rajin Bersenam? Ini Sebabnya

Ramai yang percaya bahawa bersenam secara konsisten adalah cara paling efektif untuk menyingkirkan lemak di perut. Namun realitinya ramai yang sudah menghabiskan berjam-jam di gym, berlari di treadmill atau mengikuti pelbagai kelas kecergasan tetapi perut masih kelihatan buncit dan enggan mengecil. Rasa kecewa sering timbul apabila usaha yang konsisten seolah-olah tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Situasi ini bukan sahaja mengecewakan dari segi penampilan tetapi juga menimbulkan tanda tanya mengenai keberkesanan rutin senaman yang dijalankan.

Hakikatnya, perut buncit bukan hanya berpunca daripada kurang bersenam. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi termasuk pemakanan, hormon, tidur, stres dan gaya hidup harian. Kadang-kadang, walaupun anda aktif dan rajin bergerak, faktor-faktor lain ini boleh mengekalkan lemak perut. Keadaan ini akan menjadikan usaha bersenam kelihatan tidak membuahkan hasil.

Dalam artikel ini, kami akan kupas 8 sebab utama kenapa perut masih buncit walaupun anda kerap bersenam. Ianya lengkap dengan tips praktikal yang boleh diamalkan. Dengan memahami punca sebenar, anda bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan senaman tetapi juga membina strategi holistik untuk menyingkirkan lemak perut dengan lebih berkesan dan sihat.

1. Pemakanan tidak seimbang

Salah satu faktor paling utama yang menyebabkan perut buncit adalah pemakanan yang tidak seimbang. Bersenam memang membantu membakar kalori tetapi jika pengambilan kalori masih melebihi jumlah yang dibakar, lebihan tersebut akan disimpan sebagai lemak terutamanya di bahagian perut. Makanan segera, minuman manis, snek bergula dan makanan tinggi lemak tepu boleh menyumbang kepada masalah ini. Jadi, walaupun anda rajin berlari atau menghadiri kelas kecergasan, jika pola pemakanan tidak diubah, usaha bersenam sahaja tidak akan memberikan hasil yang ketara pada perut. Mengamalkan pemakanan sihat yang kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan, protein tanpa lemak dan bijirin penuh adalah langkah penting untuk mengurangkan perut buncit.

2. Jenis senaman yang dilakukan

Tidak semua senaman memberi kesan sama terhadap lemak perut. Kardiovaskular seperti berlari, berbasikal atau berenang memang membakar kalori tetapi untuk mengecilkan perut dengan lebih berkesan, latihan kekuatan dan latihan otot teras (core) juga amat penting. Senaman kekuatan akan meningkatkan metabolisme, membina otot dan membantu tubuh membakar lebih banyak kalori walaupun ketika berehat. Latihan perut seperti plank atau sit-up pula dapat membantu menguatkan otot abdomen. Ia akan menjadikan perut lebih tegang dan kelihatan lebih ramping. Gabungan kedua-dua jenis latihan ini adalah kunci untuk mendapatkan hasil yang optimum.

3. Genetik

Setiap individu mempunyai corak penyimpanan lemak yang berbeza yang sebahagiannya dipengaruhi oleh genetik. Sesetengah orang cenderung menyimpan lebih banyak lemak di bahagian perut. Manakala yang lain mungkin lebih kepada pinggul atau peha. Faktor genetik ini juga mempengaruhi kadar metabolisme dan cara tubuh membakar lemak. Oleh itu, walaupun anda bersenam dan menjaga pemakanan, perut mungkin menjadi kawasan terakhir yang menunjukkan perubahan. Kesedaran tentang faktor genetik ini dapat membantu anda bersabar dan fokus pada usaha yang berterusan tanpa terlalu kecewa jika hasilnya lambat kelihatan.

4. Hormon tidak seimbang

Hormon juga memainkan peranan penting dalam pengurusan berat badan dan lemak perut. Kortisol merupakan hormon yang dihasilkan ketika tubuh mengalami tekanan. Ia boleh meningkatkan selera makan dan mendorong penyimpanan lemak di abdomen. Selain itu, hormon insulin dan hormon seks juga memberi kesan terhadap cara tubuh menyimpan lemak. Kadar hormon yang tidak seimbang akibat stres, kurang tidur atau penuaan boleh menyukarkan proses pembakaran lemak di perut walaupun aktiviti fizikal dilakukan secara konsisten.

5. Tidur yang tidak berkualiti

Tidur yang cukup dan berkualiti merupakan elemen penting dalam pengurusan berat badan tetapi sering diabaikan. Kurang tidur boleh mengganggu hormon lapar (ghrelin) dan kenyang (leptin). Ia akan menyebabkan anda lebih mudah lapar dan cenderung makan berlebihan terutamanya makanan manis dan berkalori tinggi. Tidur yang tidak mencukupi juga akan menjejaskan metabolisme dan tahap tenaga serta menjadikan tubuh kurang efisien dalam membakar kalori. Oleh itu, memastikan tidur yang cukup dan berkualiti setiap malam adalah langkah penting untuk mengawal perut buncit.

6. Perut kembung

Kadangkala perut buncit bukan semata-mata kerana lemak tetapi akibat kembung atau pengumpulan gas. Pengambilan garam yang berlebihan, minuman berkarbonat, makanan bergas atau intoleransi terhadap sesetengah makanan seperti laktosa boleh menyebabkan perut kelihatan lebih besar. Masalah ini biasanya bersifat sementara dan boleh diperbaiki dengan pengambilan makanan seimbang, minum air secukupnya serta mengurangkan pengambilan makanan penyebab kembung.

7. Gaya hidup

Antara lain, aktiviti fizikal harian yang rendah turut menyumbang kepada perut buncit. Walaupun anda rajin bersenam beberapa kali seminggu namun jika baki waktu lain dihabiskan dengan duduk terlalu lama seperti ketika bekerja di pejabat, menonton TV atau memandu, tubuh akan tetap kekurangan aktiviti fizikal. Keadaan ini akan menyebabkan metabolisme badan rendah dan pembakaran kalori berkurangan, Ianya sekaligus akan menyukarkan proses pengurangan lemak perut. Mengintegrasikan aktiviti ringan sepanjang hari seperti berjalan kaki singkat, melakukan regangan atau berdiri secara berkala boleh membantu mengekalkan metabolisme dan mengurangkan lemak perut.

8. Stres

Tekanan hidup yang berlebihan juga boleh menjejaskan usaha anda mengekalkan perut yang ramping. Stres akan meningkatkan pengeluaran hormon kortisol. Ianya bukan sahaja meningkatkan selera makan tetapi juga mendorong tubuh menyimpan lebih banyak lemak di perut. Sekiranya stress tidak dikawal, lemak perut mungkin kekal atau bertambah walaupun anda banyak bersenam. Mengamalkan teknik pengurusan stres seperti meditasi, senaman pernafasan, yoga atau sekadar berjalan santai akan dapat membantu menurunkan kortisol dan memberikan kesan positif terhadap bentuk tubuh serta kesihatan secara keseluruhan.

Kesimpulannya, perut buncit bukan masalah yang boleh diselesaikan hanya dengan bersenam sahaja. Ia melibatkan gabungan pemakanan, jenis senaman, gaya hidup, hormon, tidur dan tekanan emosi. Memahami punca sebenar perut buncit membolehkan anda mengambil langkah yang lebih tepat termasuk mengawal pemakanan, memilih jenis senaman yang sesuai, mengurus stres dan mengamalkan gaya hidup aktif secara keseluruhan. Kesabaran dan konsistensi adalah kunci kerana perubahan pada tubuh memerlukan masa dan usaha berterusan. Dengan pendekatan holistik ini, perut buncit boleh dikurangkan secara berkesan sekaligus meningkatkan kesihatan dan keyakinan diri.

Sumber : WebMD, SHAPE

BACA : Hidup Lebih Mudah: 8 Barang Rumah Pintar Jimatkan Masa

The post Perut Masih Buncit Walau Rajin Bersenam? Ini Sebabnya appeared first on Siakap Keli.