Pesakit kanser, pelajar antara 29 penerima zakat wakalah Yayasan MBI

23 Oct 2026 • 6:18 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pesakit kanser, pelajar antara 29 penerima zakat wakalah Yayasan MBI

SHAH ALAM, 23 OKT: Pesakit kanser, individu memerlukan pembedahan jantung dan pelajar antara 29 penerima zakat wakalah berjumlah kira-kira RM120,000 yang disalurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI hari ini.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban penerima bagi menampung kos rawatan kesihatan, pengajian dan sara hidup, dengan sebahagian besar terdiri daripada asnaf fisabilillah serta gharimin.

“Selain daripada pelajar-pelajar, ada juga mereka yang memerlukan kos pembedahan jantung, ada yang mengalami masalah kanser dan ada juga yang menerima sumbangan sara hidup.

“Jadi, inilah yang kita bantu melalui zakat wakalah yang kita ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Image from: Pesakit kanser, pelajar antara 29 penerima zakat wakalah Yayasan MBI
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurut Ahmad Azri, zakat wakalah merupakan sebahagian daripada bayaran zakat MBI yang dikembalikan oleh Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) untuk diagihkan kepada golongan layak.

Beliau menjelaskan agihan berkenaan melibatkan empat kategori asnaf iaitu fakir, miskin, gharimin dan fisabilillah.

Katanya, Yayasan MBI menerima lebih RM700,000 zakat wakalah tahun ini dan menyasarkan baki peruntukan disalurkan sepenuhnya sebelum akhir tahun.

“Kita ada berbaki lagi kurang lebih RM80,000 yang kita akan habiskan pada tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Azri menyifatkan rakyat Selangor bertuah kerana mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan masyarakat.

Image from: Pesakit kanser, pelajar antara 29 penerima zakat wakalah Yayasan MBI
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Serahan Sumbangan Zakat Wakalah Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata usaha berkenaan selaras dengan prinsip MBI bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan.

“Kita patut berasa terima kasih dan bersyukur kerana tinggal di negeri ini. Kerajaan yang ada cukup menjaga kebajikan rakyatnya.

“Saya harap sumbangan ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved