
KUALA LUMPUR: Penulis lirik terkenal, Datuk Habsah Hassan, melahirkan rasa syukur selepas lagu Pesanan Buat Diri nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza meraih kemenangan pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), Sabtu lalu.
Lagu berkenaan dinobatkan sebagai pemenang kategori Lagu Tradisional Terbaik, sekali gus menambah koleksi kejayaan buat karya yang mengetengahkan mesej tentang kehidupan, kehilangan dan ketabahan dalam meneruskan perjalanan hidup.
Habsah berkata, kemenangan berkenaan turut disifatkan sebagai penghargaan terhadap kepercayaan yang diberikan Siti Nurhaliza dan komposer, Aubrey Suwito, kepadanya untuk menghasilkan lirik yang dekat dengan kehidupan manusia.
“Terima kasih kepada Datuk Seri Siti dan Aubrey yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mencuba menghasilkan karya ini. Sebenarnya, pada peringkat awal lagi saya sudah terfikir untuk menghasilkan sebuah cerita melalui lagu kerana saya sudah menghasilkan macam-macam cerita sebelum ini.
“Bagi saya, lagu ini adalah untuk kita semua, untuk diri saya sendiri, untuk Datuk Seri Siti dan juga untuk audiens kita. Sebab itu saya katakan, kalau ada masa, dengarlah lagu ini bersama liriknya dan cuba fahami maksud yang ingin disampaikan,” katanya.
Menurut Habsah, Pesanan Buat Diri membawa kisah mengenai hakikat kehidupan yang tidak kekal, termasuk saat bahagia dan gembira serta kenyataan bahawa setiap manusia akhirnya akan berdepan dengan perpisahan dan kehilangan.
“Cerita di sebalik lagu ini adalah tentang kehidupan yang tidak ada sesuatu pun kekal selama-lamanya. Ada masa kita bahagia, ada masa kita gembira dan apabila sampai waktunya, mungkin saya yang pergi dahulu ataupun pasangan saya yang pergi dahulu.
”Tetapi kita pasti akan melalui keadaan di mana ada yang meninggalkan dan ada yang ditinggalkan.Itulah sebenarnya ceritanya.
“Namun, realiti kehidupan ialah kita tidak boleh terlalu bersedih kerana perkara itu juga dituntut oleh agama. Kita jangan terlalu bersedih. Jadi, mesejnya ialah kita semua perlu bersedia untuk menghadapinya kerana kehidupan perlu diteruskan,” katanya.
Mengulas proses menghasilkan lirik lagu berkenaan, Habsah berkata, Aubrey terlebih dahulu menghantar melodi kepadanya sebelum beliau mula memikirkan cerita yang sesuai untuk diterapkan dalam karya terbabit.
Katanya, kaedah berkenaan sedikit berbeza daripada kebiasaannya kerana beliau lebih gemar menghasilkan lirik terlebih dahulu sebelum melodi disediakan oleh komposer.
“Aubrey menghantar melodi terlebih dahulu. Biasanya kebanyakan komposer lebih senang menghantar muzik dahulu, tetapi sebenarnya saya lebih suka membuat lirik terlebih dahulu. Kalau tidak, saya pening hendak mengikut nota-nota yang diberikan.
“Namun, Aubrey memberikan melodi dan saya agak terkejut juga kerana lagu berirama asli itu datang daripada seorang komposer yang bukan Melayu.
“Bagi saya, itu sesuatu yang membanggakan dan pada masa sama saya agak takut juga hendak menulis lirik untuk Datuk Seri Siti. Saya tertanya-tanya, cerita apa yang hendak saya bawakan untuk dia?” katanya.
Habsah berkata, seperti proses penghasilan karya sebelum ini, beliau akan mendengar melodi berulang kali sehingga benar-benar mengingati susunan melodinya sebelum memikirkan cerita yang bersesuaian.
“Saya akan dengar berulang kali tanpa memikirkan cerita terlebih dahulu. Berapa kali? Saya sendiri tidak tahu, tetapi saya akan mendengarnya sehingga melodi itu benar-benar melekat dalam ingatan.
“Apabila saya sudah ingat melodi tersebut, barulah saya fikirkan apakah cerita yang sesuai untuk melodi itu.
“Kebanyakan lirik saya berkisar tentang manusia kerana bagi saya, isu berkaitan manusia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja.
“Saya rasa sesuatu lagu itu mesti datang daripada jiwa kerana apabila ia datang daripada jiwa, barulah ia boleh menyentuh jiwa pendengar,” katanya.
The post Pesan Buat Diri: Realiti kehidupan kita tidak boleh terlalu bersedih – Habsah Hassan appeared first on Utusan Malaysia.






