
KUCHING: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menganggap pencalonan Gema Bumantara dalam 14 kategori Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) sudah menjadi satu kemenangan buat dirinya, biarpun keputusan akhir diserahkan kepada juri profesional.
Menurut Siti, penghasilan album berkenaan bukan semata-mata untuk kepentingan dirinya, sebaliknya sebagai usaha memperjuangkan irama tradisional demi industri muzik dan generasi akan datang.
“Alhamdulillah, saya sebenarnya bersyukur kerana usaha untuk memberikan yang terbaik untuk Gema Bumantara itu terhasil apabila sampai dicalonkan untuk 14 kategori.
“Sampai ke peringkat final itu dah menjadi satu kebanggaan untuk saya sebab saya memperjuangkan irama tradisional ini bukan untuk diri saya tapi untuk industri dan juga untuk generasi akan datang. Dan apa pun keputusan saya terima dengan hati terbuka kerana bagi saya, saya menghasilkan dia itu dah satu kemenangan untuk saya.
“Yang lain saya serahkan kepada juri yang profesional lah mengikut orang kata kepakaran mereka dan pendapat mereka. Walau macam mana pun, Gema Bumantara ini dah sesuatu untuk saya dan kemenangan besar untuk saya juga,” katanya ketika ditemui pada AIM25, malam ini.
Siti berkata, sebarang ramalan mengenai keputusan AIM25 tetap dianggap sebagai ramalan dan tidak mahu meletakkan harapan terhadap keputusan akhir yang bakal diumumkan.
“Ramalan tetap ramalanlah, tapi bagi saya, saya dengan hati terbuka. Macam saya katakan tadi, dah berjaya untuk banyak… banyak kategori pun dah satu kemenangan untuk diri saya, untuk Gema Bumantara sendiri sebab yang hadir dan yang support album ini bukan penyanyi sahaja tetapi pencipta lagu, penulis lirik, arranger, dan juga producer, kan?
“So ini untuk mereka! Untuk saya, saya… saya menjadikan ia satu kenyataan untuk semua komposer muda yang nak mencipta lagu tradisional,” katanya.
Dalam pada itu, Siti turut meluahkan rasa gembira apabila melihat semangat terhadap muzik berirama tradisional semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda selepas penghasilan Gema Bumantara.
“Saya memang rasa macam dialu-alukan sangat dengan semangat untuk Gema Bumantara ini sebab selepas saya keluarkan album Gema Bumantara, saya dapat tengok semangat untuk generasi yang muda… ada yang keluarkan lagu berirama tradisional.
“Dan kebetulan event-event sebelum ini semuanya bertemakan tradisional. Kan? Jadi, saya memang rasa gembira dan yang paling penting saya tak nak dia bersiklus (bermusim). Saya nak sampai bila-bila,” katanya.
The post Siti Nurhaliza anggap 14 pencalonan AIM25 sudah satu kemenangan appeared first on Utusan Malaysia.

![[VIDEO] Saya tak nak irama Malaysia bermusim – Siti Nurhaliza](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/1da5702d-1f3e-4251-9ebc-6dec07badb4b-1024x576.jpeg)




