Pesanan coklat jadi kenangan terakhir

26 Aug 2026 • 1:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pesanan coklat jadi kenangan terakhir

 

KOTA TINGGI – “Nak kirim Cadbury.”

Itu pesanan terakhir Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20, kepada ibunya, Siti Aisyah Hamdan, 43, menerusi WhatsApp sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing, petang semalam.

Siti Aisyah yang menetap di Melaka berkata, dia tidak menyangka permintaan anak tunggalnya itu untuk dibelikan coklat kegemarannya menjadi kenangan terakhir buat dirinya.

Menurutnya, dia sebenarnya sudah merancang untuk membawa coklat berkenaan apabila mereka dijadualkan bertemu pada cuti panjang sempena sambutan Hari Kebangsaan nanti.

“Pagi semalam saya ada WhatsApp dia dan dia balas. Bila saya tanya nak kirim apa, dia kata nak makan coklat Cadbury.

“Saya cakaplah nanti saya belikan, tetapi tidak sangka pula jadi macam ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.

Bercerita mengenai arwah, Siti Aisyah berkata, Nur Fatin merupakan seorang anak yang manja dan sejak kecil sangat rapat dengan neneknya.

Katanya, anak tunggalnya itu sebelum ini tinggal bersamanya di Melaka, namun baru dua bulan lalu kembali menetap bersama nenek dan datuknya di Felda Tenggaroh 1.

“Dia memang dari kecil rapat dengan nenek. Sebelum ini dia tinggal dengan saya di Melaka, tetapi baru dua bulan lepas dia duduk balik di Tenggaroh.

“Saya tidak tahu anak dan kawannya pergi ke mana ketika kejadian, tetapi saya dimaklumkan kawan lelakinya itu sudah meminta izin daripada datuk dan nenek untuk keluar bersama,”katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.25 petang itu, kereta Toyota Vios dinaiki Nur Fatin bersama rakannya, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, yang turut maut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan bertembung dengan kereta Honda City.

Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu Honda City, Muhammad Amin Mukhtar, 35, maut selepas mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, bapa saudara Muhamad Shuhairil, Mohd Serat Nawawi, 52, berkata, anak saudaranya itu bertugas sebagai anggota tentera di Kem Iskandar, Mersing.

Katanya, keluarga hanya mengetahui berita duka itu kira-kira pukul 6 petang semalam sebelum bergegas untuk urusan tuntutan jenazah.

“Arwah merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang ketenteraan.

“Ayah arwah merupakan bekas anggota askar, manakala dua lagi adik-beradiknya turut berkhidmat sebagai anggota tentera,” katanya.

Jenazah Muhamad Shuhairil akan dikebumikan di Ipoh, Perak selepas semua urusan bedah siasat dijalankan hari ini.-KOSMO! ONLINE

The post Pesanan coklat jadi kenangan terakhir appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved