Pesara antara 40 individu dikesan positif dadah

26 Apr 2025 • 12:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara 40 individu dikesan positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Perdana/Bersepadu yang dijalankan AADK Sarawak selama dua hari di Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga.Foto Facebook AADK Sarawak

image is not available
Operasi yang bermula pada Khamis di Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga itu melibatkan pegawai dan anggota AADK dari Sibu, Sarikei dan Bintulu serta pasukan daripada Jabatan Imigresen Bahagian Kapit. Foto Facebook AADK Sarawak

SIBU - Seorang pesara swasta berusia 56 tahun antara 40 individu dikesan positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Perdana/Bersepadu yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak selama dua hari di Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sarawak, Mohamed Izuan Abdul Rahman berkata, kesemua 40 individu itu terdiri daripada 34 lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun.

"Kesemuanya tidak mempunyai rekod penyalahgunaan dadah. Mereka akan dibawa ke mahkamah litar di Belaga untuk mendapatkan perintah di bawah Seksyen 6(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), sebaik sahaja laporan patologi dikeluarkan.

"Perintah mahkamah diperlukan bagi menentukan sama ada mereka perlu menjalani rawatan dan pemulihan dalam institusi atau menerusi program komuniti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

**media[3100856]**

Mohamed Izuan berkata, pihaknya percaya bekalan dadah itu diperoleh daripada pembekal di sekitar kawasan skim penempatan berkenaan.

Operasi yang bermula pada Khamis itu, katanya melibatkan pegawai dan anggota AADK dari Sibu, Sarikei dan Bintulu serta pasukan daripada Jabatan Imigresen Bahagian Kapit.

Beliau berkata, sembilan pendatang tanpa izin turut ditahan menerusi operasi terbabit dan operasi itu adalah usaha berterusan AADK Sarawak dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan berisiko tinggi termasuk di pedalaman negeri. - Bernama