Pesara antara 40 individu dikesan positif dadah dalam operasi bersepadu AADK

LocalHealth & Fitness
26 Apr 2025 • 12:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SIBU, 26 APRIL: Seorang pesara swasta berusia 56 tahun antara 40 individu dikesan positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Perdana/Bersepadu yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak selama dua hari di Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Sarawak Mohamed Izuan Abdul Rahman berkata kesemua 40 individu itu terdiri daripada 34 lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun.

“Kesemuanya tidak mempunyai rekod penyalahgunaan dadah. Mereka akan dibawa ke mahkamah litar di Belaga untuk mendapatkan perintah di bawah Seksyen 6(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), sebaik sahaja laporan patologi dikeluarkan.

“Perintah mahkamah diperlukan bagi menentukan sama ada mereka perlu menjalani rawatan dan pemulihan dalam institusi atau menerusi program komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Izuan berkata pihaknya percaya bekalan dadah itu diperoleh daripada pembekal di sekitar kawasan skim penempatan berkenaan.

Operasi yang bermula pada Khamis itu, katanya melibatkan pegawai dan anggota AADK dari Sibu, Sarikei dan Bintulu serta pasukan daripada Jabatan Imigresen Bahagian Kapit.

Beliau berkata sembilan pendatang tanpa izin turut ditahan menerusi operasi terbabit dan operasi itu adalah usaha berterusan AADK Sarawak dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan berisiko tinggi termasuk di pedalaman negeri.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved