Pesara dari Melaka jadi jutawan BSN SSP

21 Jan 2023 • 12:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
BSN SSP telah telah melahirkan seramai 83 jutawan dan sepanjang 45 tahun diperkenalkan.

SHAH ALAM - Seorang pesara dari Melaka bergelar jutawan selepas memenangi cabutan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang diumumkan pada 7 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, BSN memaklumkan, pesara berumur 62 tahun itu memenangi RM1 juta hasil simpanan menerusi sijil berkenaan pada 2021.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, BSN SSP telah telah melahirkan seramai 83 orang jutawan dan sepanjang 45 tahun diperkenalkan, ia terus mendapat sambutan positif daripada rakyat Malaysia dengan jumlah simpanan direkodkan hampir RM5 bilion sehingga Disember 2022.

"BSN memperkenalkan pelbagai kategori cabutan dan hadiah menarik untuk tahun 2023, antaranya Cabutan Jutawan April yang merupakan cabutan istimewa untuk guru.

"Cabutan Jutawan Ogos pula dikhaskan untuk pekerja barisan hadapan dan Cabutan Jutawan November untuk pelanggan setia yang telah menyimpan sekurang-kurangnya 20 tahun," katanya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, bagi melayakkan pelanggan berpeluang untuk cabutan berkenaan, mereka perlu menambah simpanan minimum RM3,000 bagi tahun ini.

Selain itu katanya, Cabutan Jutawan Bonanza pada bulan Disember pula menawarkan sebuah kereta BMW X5 berserta hadiah BSN SSP RM1 juta.

"Pada tahun 2023 juga, BSN turut menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk kategori cabutan lain termasuk Cabutan Bulanan, Cabutan Wilayah, Cabutan Penyimpan Muda, Cabutan Kesetiaan, Cabutan Penyimpan Baharu, Cabutan Guru, Cabutan Akaun Gaji, Cabutan Kasih dan Cabutan Simpanan Konsisten.

"Selain hadiah RM1 juta, BSN masih menawarkan hadiah seperti kereta BMW 320i M Sport, kereta Myvi dan pelbagai lagi hadiah lumayan lain.

"BSN SSP menawarkan kebaikan 3 dalam 1 (iaitu) menyimpan, menang hadiah dan peroleh kadar keuntungan simpanan menarik sehingga 2.40 peratus setahun melalui BSN SSP Platinum," ujarnya.

Pelanggan sedia ada yang ingin menambah simpanan BSN SSP boleh berbuat demikian menerusi kaunter cawangan BSN, mesin taler automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM), perbankan internet myBSN, cawangan bank bergerak (CBB) atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN).

Bagi pelanggan baharu, simpanan BSN SSP boleh dibuat melalui kaunter cawangan BSN di seluruh negara.

Untuk menyemak senarai pemenang, sila layari laman sesawang www.bsn.com.my atau laman Facebook dan Instagram rasmi BSN.