Pesara polis wanita lari pemeriksaan, langgar dua kenderaan rupanya bawa dadah

12 May 2026 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pesara polis wanita lari pemeriksaan, langgar dua kenderaan rupanya bawa dadah
Antara barangan milik suspek yang dirampas polis.

REMBAU – Tindakan seorang pesara polis wanita melarikan diri kira-kira 50 kilometer (km) daripada pemeriksaan polis membawa kepada penemuan pil disyaki dadah jenis ekstasi pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, wanita berusia 65 tahun berkenaan dipercayai terlebih dahulu melanggar dua kenderaan sebelum melarikan diri ke arah Melaka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta Honda City yang melanggar kenderaan lain di Taman Sedia Raja, Chembong di sini.

“Anggota rondaan pelbagai guna (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau pergi ke lokasi selepas dimaklumkan kereta yang melanggar kenderaan tersebut telah melarikan diri.

“Ketika anggota MPV dalam perjalanan ke lokasi, mereka terserempak dengan kereta berkenaan dan cuba memberhentikannya, namun suspek enggan memberi kerjasama sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurutnya, dengan kerjasama anggota ronda Balai Polis Kota serta anggota MPV Alor Gajah dan Melaka Tengah, kenderaan suspek berjaya ditahan di Jalan Bukit Beruang, Melaka kira-kira jam 11.40 malam.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek menemukan sebuah beg mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi empat pil disyaki dadah jenis ekstasi.

“Pemeriksaan mendapati suspek merupakan pesara polis.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamine,” katanya.

Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati kereta suspek turut terlibat dalam dua kemalangan jalan raya di daerah Rembau membabitkan sebuah Toyota Hiace dan Perodua Viva.

“Tiada sebarang kecederaan dialami kedua-dua pemandu terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di IPD Melaka Tengah dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.