KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis terbongkar selepas didapati memiliki dadah ketika ditahan di Jalan Ampang di sini pada Isnin.
Kereta dipandu suspek sebelum itu turut merempuh dua kereta lain ketika dikejar pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan satu video tular berkaitan kejadian itu di media sosial kira-kira jam 10 pagi Rabu.
Menurutnya, hasil semakan mendapati kejadian sebenar berlaku kira-kira jam 6.15 petang.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan seorang pemandu lelaki berusia 31 tahun yang memandu sebuah Perodua Bezza putih gagal berhenti selepas diarahkan pasukan MPV Ampang.
"Suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum dikejar pihak polis bermula dari kawasan Pandan Indah sehingga ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Zamzuri berkata, sebaik tiba di Jalan Ampang, suspek dipercayai gagal mengawal keretanya sebelum melanggar dua kereta lain yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.
"Kereta terlibat ialah sebuah Perodua Aruz dipandu wanita berusia 42 tahun dan sebuah lagi Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 35 tahun.
"Kemalangan melibatkan kerosakan pada kereta dan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan mana-mana pihak," katanya.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh anggota MPV Ampang.
"Suspek disyaki terlibat dengan pemilikan dadah selepas polis menemui dadah jenis pil yaba seberat 4.7 gram dalam milikannya.
"Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya.
Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk tindakan lanjut.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
"Selain itu, Trafik Kuala Lumpur turut membuka siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala IPD Wangsa Maju menyiasat kes mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan sebuah kereta melanggar beberapa kenderaan ketika dikejar pihak polis di sini.

![Tular Pemandu Rempuh 2 Kereta Ketika Lari Dari Polis, Rupanya Bawa Dadah [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/Pemandu-Bezza-ditahan-rempuh-2-kereta.jpg?t=1778054900)




