KENAIKAN harga diesel benar-benar memberi tekanan kepada pesawah. Ia bukanlah bermaksud sebelum ini kehidupan pesawah tidak terhimpit, tetapi keadaan sekarang sudah melangkaui 'menekan'.
Jika mahu diibaratkan, tekanan itu seakan-akan sudah mula 'menanam' hampir separuh badan pesawah ke dalam tanah, nafas masih ada, tetapi ruang untuk bergerak semakin sempit.
Apa yang lebih membimbangkan buat kita rakyat Malaysia, luahan hati pesawah untuk berhenti menanam padi bukan isu kecil atau emosi sementara. Ia adalah isu masa depan kita, isu keterjaminan makanan dan kedaulatan makanan.
Padi ialah makanan asasi rakyat Malaysia dan bukan sekadar komoditi dagangan. Sektor padi adalah tunjang kestabilan sosial, ekonomi dan kesejahteraan negara.
Bayangkan jika 200,000 pesawah yang membanting tulang demi keterjaminan makanan negara kita mula mengurangkan musim atau meninggalkan sawah, sudah pasti negara bakal berdepan risiko kemerosotan bekalan domestik yang lebih parah pada masa hadapan.
Potensi jelapang vs realiti hasil: Jurang yang membimbangkan
Realitinya, sektor padi negara masih rapuh dari sudut produktiviti dan trend pengeluaran. Hakikat pahit yang perlu kita terima adalah tren pengeluaran padi dari tahun ke setahun semakin merosot.
Ini diakui sendiri oleh Yang Berhormat Menteri. Pengeluaran padi pada 2024 adalah 2.06 juta tan metrik menurun dari tahun 2023 iaitu sekitar 2.175 juta tan metrik.
Malah penurunan ini sudah pun berlaku semenjak 2022 apabila padi yang dihasilkan adalah sekitar 2.282 juta tan metrik. Berbanding dengan purata hasil padi negara kekal sekitar 3.5 hingga 3.9 tan sehektar, dipercayai ia sebenarnya berpotensi menghasilkan 5 hingga 7 tan sehektar sekiranya pesawah mendapat sokongan mencukupi dan kos input munasabah.
Fakta yang perlu diperbetulkan ialah, masalah kita bukan semata-mata soal 'pesawah malas' atau 'hasil rendah, tetapi soal ekosistem: kos, insentif, dan struktur rantaian nilai yang tidak memihak kepada pengeluar sebenar di sawah.
Di lapangan, motivasi paling berkesan untuk memastikan pesawah terus menanam sudah tentunya insentif kewangan. Lumrah manusia, seperti juga pesawah insentif kewangan ini bukanlah bermaksud pesawah materialistik, tetapi kerana mereka juga manusia yang perlu hidup dan menyara keluarga.
Kos mengusahakan sawah dilaporkan mencecah sekitar RM5,500 sehektar, yang meletakkan kos pengeluaran padi sekitar RM1,500 bagi setiap tan metrik atau lebih.
Dalam keadaan ini, harga lantai RM1,500 setan metrik pada hakikatnya hanya menyamai kos pengeluaran tanpa memberi ruang keuntungan munasabah. Lebih buruk, pesawah menanggung risiko banjir, kemarau, penyakit tanaman dan ketidaktentuan hasil; namun pada akhirnya mereka “pulang modal” atau menanggung kerugian tersembunyi yang tidak masuk dalam kiraan rasmi.
Jika harga lantai sekadar menampung kos, pesawah bukan sedang 'dibantu'; mereka sedang diminta terus bekerja dalam margin yang rapuh.
Diesel pemacu kos: Tekanan menular sepanjang rantaian padi
Di sinilah kenaikan diesel menjadi faktor pemutus. Diesel bukan satu komponen kecil. Ia menggerakkan kos membajak, menuai, pam air, pengangkutan input (baja, racun, benih), dan logistik hasil.
Apabila diesel naik, kos operasi naik serentak dan pantas. Pesawah yang sebelum ini masih boleh bertahan dengan hutang kecil, kini berdepan situasi lebih berat.
Penulis sendiri pernah dimaklumkan sendiri oleh seorang pesawah bahawa dua musim lalu beliau terpaksa berhutang RM1,800 dan musim berikutnya berhutang lagi RM400 akibat hasil tidak menjadi. Hutang ini berlaku sebelum lonjakan kos semasa.
Jika keadaan kos meningkat terus dibiarkan, soalan yang paling realistik bukan “kenapa pesawah mengeluh”, tetapi “sampai bila mereka mampu menampung hutang untuk menghasilkan makanan rakyat?”
Adakah mereka dipaksa untuk bekorban demi kesenangan orang lain sedangkan mereka terus menderita.
Ada satu lagi implikasi yang kerajaan sering terlepas pandang, iaitu kemiskinan pesawah bukan sekadar masalah kebajikan tetapi ia isu regenerasi tenaga kerja.
Pesawah yang 'kaya' dan hidup selesa akan mengubah cara anak muda memandang sawah daripada kerja yang memenatkan dan tidak berbaloi, kepada kerjaya yang bermaruah dan mampu membina masa depan.
Apabila pendapatan pesawah stabil, anak pesawah lebih cenderung meneruskan warisan keluarga, teknologi moden lebih mudah diserap, dan produktiviti lebih cepat meningkat.
Sebaliknya, jika pesawah terus dihimpit, anak muda akan menjauh; sawah menjadi kerja “orang tua”dan negara makin rapuh dari sudut kedaulatan makanan.
Penutup
Maka tindakan kerajaan mesti bersifat segera dan struktural. Pertama, semakan dan pelarasan harga asas padi perlu dibuat secara munasabah agar benar-benar selari dengan kos sebenar pengeluaran semasa.
Kedua, bantuan bersasar mesti ditambah baik termasuk subsidi input dan bantuan diesel pertanian yang benar-benar sampai kepada pesawah kecil, di samping sokongan mekanisasi dan penyelenggaraan infrastruktur sawah.
Ketiga, reform tadbir urus rantaian nilai padi dan beras perlu dilaksanakan supaya manfaat bantuan tidak 'bocor' di peringkat orang tengah atau pengilang, sedangkan pesawah terus tertekan.
Kerajaan juga perlu berani memperkenalkan mekanisme perlindungan risiko yang lebih berkesan misalnya skim takaful yang lebih mesra tuntutan, dana bencana yang pantas, dan intervensi air atau pengairan yang benar-benar mengurangkan risiko gagal hasil.
Luahan pesawah untuk berhenti menanam padi ialah isyarat awal yang tidak wajar dipandang ringan. Ini bukan isu satu kelompok, tetapi isu keselamatan makanan negara.
Menyelamatkan pesawah bererti mempertahankan makanan rakyat, kestabilan negara dan kedaulatan masa depan Malaysia. Jika kerajaan mahu rakyat sejahtera, kerajaan mesti memastikan pengeluar makanan tidak 'pulang modal' semata-mata, tetapi hidup bermaruah dan berdaya tahan.
Kerajaan tidak boleh terus berlindung di sebalik retorik 'bekalan terjamin' sedangkan asas pengeluaran domestik sedang goyah. Kebergantungan kita kepada bekalan luar hampir separuh dari kadar sara hidup.
Dalam dunia yang kerap terganggu oleh konflik, sekatan eksport, dan turun naik harga antarabangsa, pergantungan ini ialah risiko strategik. Jika pesawah tempatan berhenti atau mengurangkan musim, kita bukan sahaja menanggung inflasi makanan, malah hilang daya tawar sebagai negara yang mampu menjaga makanan asas sendiri.
Tanpa pesawah yang mampu bertahan, tiada keterjaminan makanan; tanpa keterjaminan makanan, kos sara hidup akan terus menekan dan akhirnya seluruh negara membayar harga yang lebih mahal.
*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari dan pemerhati politik semasa

