Pesawah sambut baik, tapi bimbang bayaran IPP lewat

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pesawah sambut baik, tapi bimbang bayaran IPP lewat

ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) melahirkan kebimbangan terhadap Belanjawan 2027 yang dianggap belum dapat menyelesaikan masalah pelaksanaan bantuan kepada petani khususnya pembayaran insentif.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, meskipun kerajaan mengumumkan peningkatan insentif penuaian padi (IPP) daripada RM50 kepada RM100 sehektar, pelaksanaan bantuan sedia ada masih menjadi persoalan apabila bayaran bagi beberapa musim penanaman terdahulu belum diselesaikan.

Katanya, insentif yang belum dibayar itu termasuk bayaran bagi Musim 1/2026 serta tunggakan bagi musim penanaman kedua pada tahun lalu.

“Kami berterima kasih atas penambahan insentif penuaian itu, tetapi apa yang lebih pen­­ting ialah pelaksanaannya. Bayaran RM50 sehektar yang di­umumkan sebelum ini pun masih belum dibayar bagi Musim 1/2026 termasuk tunggakan Musim 2/2025.

“Apabila bantuan lama belum selesai tetapi bantuan baharu diumumkan, kami berasa dukacita kerana masalah asas pesawah masih belum diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Rashid, PeSAWAH turut kecewa apabila permohonan supaya petani diberikan bantuan diesel menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi mengurangkan kos operasi jentera pertanian tidak diumumkan dalam belanjawan kali ini.

Katanya, kos bahan api memberi kesan langsung kepada perbelanjaan pesawah, khususnya ketika kerja-kerja membajak dan menuai yang memerlukan penggunaan jentera.

Beliau turut membangkitkan pelaksanaan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), khususnya bantuan racun yang di­umumkan meningkat daripada RM200 kepada RM300 dalam Belanjawan 2026 tetapi didakwa masih belum dilaksanakan.

“Sehingga kini, pesawah masih menerima kadar lama RM200 bagi bantuan racun, sedangkan penambahan kepada RM300 sudah diumumkan dalam Belanjawan 2026. Kami bimbang perkara itu hanya jadi pengumuman tanpa pelaksa­naan, malah tiada penjelasan mengenai penambahan ber­kenaan dalam Belanjawan 2027,” katanya.

Abdul Rashid berkata, ke­adaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesawah bahawa bantuan di­umumkan kerajaan mungkin tidak diteruskan atau dilaksanakan secara konsisten.

Beliau turut mencadangkan sebahagian peruntukan bantuan pertanian disalurkan menerusi e-dompet membolehkan pesawah memilih sendiri input pertanian diperlukan. – UTUSAN

The post Pesawah sambut baik, tapi bimbang bayaran IPP lewat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved