sarah09/10/2026 - 16:52 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt -- Kerajaan menyediakan bantuan berjumlah RM2.62 bilion kepada pesawah, selain menaikkan insentif penuaian padi daripada RM50 kepada RM100 sehektar bagi setiap musim menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu merangkumi subsidi benih, baja, racun, upah membajak dan harga padi, dengan nilai keseluruhan sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen.
Menurut Anwar, kadar insentif pembajakan yang dinaikkan kepada RM300 sebelum ini akan dikekalkan dan diperluas kepada pesawah di Sabah dan Sarawak.
Bagi memulihkan serta meningkatkan kesuburan tanah sawah, kerajaan turut menyediakan RM20 juta untuk membekalkan baja foliar bagi kawasan sawah melebihi 10,000 hektar.
Sementara itu, kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan, dengan peruntukan RM30 juta.
Bagi meningkatkan pendapatan nelayan, geran turut disediakan untuk projek akuakultur, termasuk pembekalan sistem bioflok bagi penternakan ikan tilapia. Agrobank pula menyediakan RM40 juta untuk pembiayaan projek akuakultur.
Anwar berkata, nelayan yang layak akan terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter.
Kerajaan turut menyediakan RM178 juta, antaranya bagi menyalurkan insentif hasil tangkapan serta Elaun Sara Hidup nelayan sehingga RM300 sebulan.- DagangNews.com






