
LABUAN – Penghantaran pesawat pejuang ringan FA-50M pertama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan bakal memperkukuh keupayaan pertahanan ruang udara negara ini khususnya dalam menghadapi keperluan pemodenan aset ketenteraan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI) disifatkan amat penting bagi meningkatkan keupayaan operasi TUDM terutamanya apabila pesawat Hawk akan ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2028.
Katanya, perolehan bernilai hampir RM4 bilion yang dimeterai pada 2023 itu membabitkan pesawat yang berperanan sebagai pesawat latihan pejuang lanjutan selain melaksanakan operasi tempur ringan.
“Perolehan ini sangat penting dan bersejarah untuk meningkatkan keupayaan negara dalam mempertahankan ruang udara,” katanya dalam sidang media sebelum sesi menyaksikan ketibaan pesawat FA-50M pertama di Pangkalan Udara Labuan, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Mohamed Khaled turut memaklumkan sebanyak enam buah pesawat dijadualkan diterima sebelum April 2027, manakala keseluruhan 18 pesawat dijangka diterima sepenuhnya pada Mac 2028.
Beliau menjelaskan penghantaran yang disaksikan hari ini (semalam) belum membabitkan penerimaan rasmi pesawat kerana ia masih di bawah tanggungjawab KAI.
Sebaliknya, pesawat terbabit perlu melalui proses penyesuaian dan ujian penerbangan terlebih dahulu sebelum majlis penyerahan rasmi dijangka diadakan sebelum pertengahan November ini.
Mengulas persiapan TUDM, Mohamed Khaled berkata, sebanyak 209 jawatan sudah diperuntukkan bagi pengoperasian pesawat berkenaan, dengan 127 daripadanya telah diisi setakat ini.
Pengisian baki jawatan akan dilaksanakan secara berperingkat, manakala pasukan jurutera dan juruterbang juga sudah bersedia untuk mengendalikan pesawat berkenaan menerusi No. 15 Skuadron.
Menurutnya, FA-50M yang diterima Malaysia merupakan varian terkini keluaran KAI dan dilengkapi sistem persenjataan moden, termasuk keupayaan peluru berpandu bagi serangan udara ke udara serta udara ke darat.
Dalam pada itu, beliau berkata, keperluan mendapatkan tambahan pesawat jet pejuang seumpama itu pada masa hadapan sememangnya wujud, namun keputusan mengenai jenis dan sumber perolehan akan bergantung kepada syor TUDM.
Pesawat FA-50M berkenaan akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang bagi menyokong kesiapsiagaan operasi dan latihan TUDM, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha pemodenan aset pertahanan negara di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
“Inisiatif ini selaras dengan Teras 1 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang menekankan pengukuhan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan negara,” tambah Mohamed Khaled.
The post Pesawat pejuang FA-50M perkukuh pertahanan udara negara appeared first on Kosmo Online.






