
Pesawat Pengisian Minyak Udara AS Terhempas Di Barat Iraq
Sebuah pesawat pengisian minyak udara KC-135 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas di barat Iraq, manakala sebuah lagi pesawat yang terlibat dalam insiden sama berjaya mendarat dengan selamat, lapor AFP.
Perkara itu dimaklumkan Tentera AS menerusi satu kenyataan pada Khamis.
“Salah satu pesawat terhempas di barat Iraq, manakala pesawat kedua berjaya mendarat dengan selamat. Insiden ini bukan berpunca daripada tembakan musuh atau tembakan rakan sendiri,” kata Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), yang bertanggungjawab terhadap operasi tentera Amerika di Asia Barat, dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tentera Iran mendakwa dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen negara bahawa sebuah kumpulan bersekutu di Iraq telah menembak jatuh pesawat tersebut menggunakan peluru berpandu, sekali gus mengorbankan semua anak kapal.
Pesawat KC-135 itu merupakan sekurang-kurangnya pesawat tentera Amerika keempat yang musnah sepanjang perang di Asia Barat, selepas tiga pesawat pejuang F-15 ditembak jatuh akibat tembakan rakan sendiri di Kuwait.
Pesawat beroperasi lebih 60 tahun
KC-135, yang telah beroperasi lebih 60 tahun, lazimnya dikendalikan oleh tiga kru iaitu juruterbang, pembantu juruterbang serta seorang operator yang mengendalikan boom untuk mengisi minyak pesawat lain di udara, menurut Tentera Udara Amerika Syarikat.
Namun, sesetengah misi KC-135 memerlukan seorang navigator dan pesawat itu juga mampu membawa sehingga 37 penumpang.
Pada peringkat awal perang yang bermula 28 Februari lalu, pasukan Kuwait secara tidak sengaja menembak jatuh tiga pesawat pejuang F-15E milik Amerika, namun kesemua enam kru berjaya menyelamatkan diri, menurut CENTCOM.
Insiden tersebut berlaku ketika pertempuran sengit yang melibatkan serangan pesawat Iran, peluru berpandu balistik serta dron, menurut kenyataan pihak tentera ketika itu.

