Pesawat Ringan Terhempas, 2 Terselamat

4 May 2024 • 1:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pesawat Cesna 172N di Skyhawk yang terhempas di Sungkai, Perak pagi tadi - gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Dua terselamat selepas pesawat ringan dinaiki terhempas di Felda Gunung Besout Tambahan 2, Sungkai hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat Cessna 172N Skyhawk yang memiliki nombor pendaftaran 9M-ADA itu telah berlepas pada 7.54 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Menurut beliau, panggilan terakhir diterima Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Slim River pada 9.35 pagi.

“Tindakan susulan telah diambil oleh Pegawai Kawalan Trafik Udara bertugas setelah pesawat gagal melaporkan kedudukan selanjutnya di Bidor. 

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di KLATCC diaktifkan pada jam 10.15 pagi setelah menerima maklumat berkenaan nahas tersebut bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

@getaranmy Dua cedera selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Felda Gunung Besout 2 Tambahan, Sungkai, PDRM sahkan. Laporan lanjut akan menyusul. #getaranmy #viral ♬ original sound - Getaran

Jelas Norazman,  dan kedua-dua individu berkenaan telah diselamatkan dan mengalami beberapa kecederaan.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.

Getaran difahamkan, kedua-dua mangsa dikenali sebagai sebagai jurulatih penerbangan, Kapten Shahrul Imran, 30-an, dan Pelatih, Le Ho Jia, 20-an.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, panggilan mengenai insiden tersebut diterima pada jam 9.46 pagi tadi.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan bantuan BBP Bidor dan BBP Tanjung Malim telah ditugaskan ke lokasi,” katanya seperti dipetik Harian Metro. - Getaran, 4 Mei 2024