Pesawat terpaksa melencong kerana tandas rosak

13 Oct 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pesawat terpaksa melencong kerana tandas rosak

NEW YORK: Ratusan penumpang sebuah penerbangan antarabangsa menuju ke Texas berdepan detik mendebarkan selepas enam daripada lapan tandas di dalam pesawat berkenaan rosak serentak ketika merentasi Lautan Atlantik.

Insiden berkenaan melibatkan penerbangan American Airlines AA37 yang berlepas dari Madrid, Sepanyol menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Fort Worth pada minggu lalu.

Disebabkan kegagalan fungsi sistem tandas tersebut, juruterbang terpaksa mengambil keputusan untuk melencongkan pesawat berkenaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) di New York bagi mendarat cemas.

Jurucakap American Airlines mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan bahawa keputusan melencongkan penerbangan itu dibuat berikutan masalah teknikal pada fasiliti tandas pesawat.

Keadaan menjadi rumit apabila hanya dua tandas sahaja yang masih berfungsi untuk kegunaan lebih 200 penumpang dan anak kapal sepanjang penerbangan jarak jauh berkenaan.

Rakaman perbualan an­tara juruterbang dan menara kawalan trafik udara yang disiarkan menerusi laman web LiveATC.net turut mendedahkan situasi sebenar di dalam kokpit.

“Anda kata hanya dua tandas sahaja yang boleh digunakan, betul?” tanya pegawai kawalan trafik udara.

“Ya, betul,” jawab juruterbang penerbangan ber­kenaan.

Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di JFK sebelum menjalani pemeriksaan penyelenggaraan oleh pasukan teknikal.

“Pesawat mendarat seperti biasa dan kemudian meneruskan penerbangan ke Dallas/Fort Worth selepas pemeriksaan penyelenggaraan selesai dijalankan. Pihak kami tidak berhasrat untuk mengganggu ranca­ngan perjalanan pelanggan dan memohon maaf atas kesusahan yang berlaku,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan. – AGENSI

The post Pesawat terpaksa melencong kerana tandas rosak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved