Pesawat Tidak Boleh Melintasi 7 Lokasi Ini Dengan Sesuka Hati, Apa Sebabnya?

Travel
9 Jul 2022 • 3:19 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Dengan teknologi seperti kapal terbang, manusia boleh pergi ke mana-mana lokasi di dunia ini dalam masa yang pantas. Bagaimanapun, terdapat beberapa lokasi di muka bumi yang tidak boleh dilintasi oleh kapal terbang.

Mengapa situasi ini boleh terjadi, ada rahsiakah di sana? Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh baca penerangannya di bawah:

1. Disney World

image is not available

Taman tema Disney terkenal dengan keindahan dan keseronokan yang ditawarkan di situ. Bagaimanapun, anda tidak boleh menikmati keindahan taman tema ini dari udara.

Difahamkan, selepas kejadian 9/11 yang mengejutkan dunia, beberapa lokasi tarikan pelancongan di Amerika Syarikat meningkat tahap keselamatan mereka. Tiada pesawat yang dibenarkan untuk terbang kurang 3000 kaki dari Disneyland di California dan Walt Disney World di Florida. Undang-undang ini menjadi kekal pada tahun 2003.

2. Tibet

image is not available

Tibet merupakan salah satu zon larangan terbang kerana faktor geografi di situ yang dipenuhi dengan gunung-ganang. Kawasan pergunungan di Asia ini memiliki ketinggian kira-kira 16,000 kaki.

Meskipun sebahagian pesawat komersial mampu terbang di kawasan pergunungan, namun ia dilarang atas faktor keselamatan.

3. Machu Picchu

image is not available

Lokasi bersejarah ini menjadi bukti penting kepada kewujudan tamadun pada zaman dahulu. Malah, di sini juga wujudnya hidupan liar dan tumbuhan yang hanya ada di Machu Picchu.

Oleh sebab itu, pihak berkuasa mahu menjaga lokasi ini daripada sebarang kebarangkalian yang boleh berlaku. Pesawat dilarang daripada melintasi kawasan ini agar tidak terdedah dengan pencemaran.

4. Mekah

image is not available

Kawasan bersejarah dan penting buat umat Islam ini juga tidak membenarkan mana-mana pesawat melintasi di ruangan udara, terutamanya di Kaabah. Jika terdapat pesawat yang melintasi kawasan ini, mereka bakal berhadapan dengan tindakan susulan dan denda.

5. Taj Mahal

image is not available

Taj Mahal merupakan salah satu bangunan yang unik dan indah dari segi strukturnya. Dibina dari tahun 1632 hingga 1653, Taj Mahal mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia pada tahun 1983.

Kerajaan India menetapkan kawasan ini sebagai zon larangan terbang pada tahun 2006 sebagai langkah untuk melindungi bangunan itu.

6. Rumah Lionel Messi

image is not available

Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi mempunyai sebuah rumah di kawasan Parque Natural del Garraf, Barcelona. Menariknya, rumah pemain bola sepak ini termasuk dalam zon larangan terbang oleh kerajaan di situ.

Kawasan tersebut dilindungi oleh undang-undang kerana ia menjadi habitat buat flora dan fauna yang hampir pupus.

7. Parthenon

image is not available

Seperti Machu Piccu, zon larangan terbang di Parthenon adalah bertujuan untuk melindungi bangunan bersejarah ini daripada sebarang kebarangkalian yang boleh mengundang kepada kerosakan.

Parthenon merupakan kuil Yunani yang dibangunkan untuk Dewi Athena, yang merupakan dewi Yunani pada zaman dahulu. Oleh sebab itu, tiada pesawat yang dibenarkan untuk terbang di bawah 5,000 kaki di atas Parthenon.

image is not available

Sumber: D23 Sumber: China Daily Sumber: Wikipedia Sumber: Mukjizat Sumber: Britannica Sumber: Linda Sumber: Hotels

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.