Peserta industri minyak sawit bimbang pertumbuhan bekalan terhad dari Indonesia, Malaysia - PublicInvest

Business & Finance
7 Mar 2024 • 6:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peserta industri minyak sawit bimbang pertumbuhan bekalan terhad dari Indonesia, Malaysia - PublicInvest

zulfadli

07/03/2024 - 18:48

KUALA LUMPUR 7 Mac - Peserta industri minyak sawit menyuarakan kebimbangan berhubung pertumbuhan bekalan terhad dari Indonesia dan Malaysia, yang boleh mendorong harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi pada masa depan, menurut Public Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu menjelaskan bahawa semasa Persidangan Minyak Sawit dan Laurik 2024 (POC2024) baru-baru ini, majoriti ahli panel berpandangan harga MSM akan melepasi paras RM4,000 satu tan dalam tempoh terdekat.

"Kebanyakan pakar industri mempunyai pandangan positif mengenai harga MSM pada 2024 namun, majoriti juga berpendapat komoditi itu akan didagangkan lebih rendah pada separuh kedua 2024, manakala dua pakar minyak sawit terkenal berpandangan harga MSM lebih tinggi, berikutan pertumbuhan bekalan minyak sawit terhad di dua negara pengeluar utama.

"Walau bagaimanapun, kebimbangan mereka adalah berbeza dengan penanam tempatan, yang kebanyakannya berdasarkan pertumbuhan pengeluaran dua angka untuk tahun ini," menurutnya.

Public Investment Bank juga memaklumkan bahawa tumpuan utama POC2024 adalah pada Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang akan menjejaskan permintaan komoditi global.

Undang-undang baharu dalam EUDR telah merangkumi tujuh komoditi dalam skop peraturan EU iaitu kacang soya, daging lembu, minyak sawit, kayu, koko, kopi dan getah, menurutnya.

"Produk komoditi yang termasuk dalam peraturan itu hanya boleh ditempatkan atau dieksport di dalam atau dari pasaran EU jika dapat dibuktikan bahawa produk tersebut bebas pembasmian hutan, dihasilkan mengikut perundangan yang relevan di negara pengeluar dan dilindungi oleh pernyataan usaha wajar.

"Kami berpendapat pengeluaran dari ladang pekebun kecil mungkin menghadapi kesukaran untuk diserap oleh pengeluar minyak sawit memandangkan kebolehkesanan yang lemah, kekurangan ketelusan dan pengeluaran tandan buah segar (TBS) mereka mungkin diserap pada harga diskaun untuk dijual ke wilayah lain," tambahnya.

Bank pelaburan itu menjelaskan kemungkinan La Lina pada separuh kedua 2024, perubahan obligasi pasaran domestik dan mandat biodiesel di Indonesia dan keadaan cuaca luar biasa di Amerika Utara yang boleh menimbulkan ancaman kepada bekalan kacang soya akan menjadi peluang cerah yang penting bagi harga MSM, lapor Bernama.

Justeru, Public Investment Bank mengunjurkan harga MSM pada purata RM3,800 satu tan, paling hampir dengan unjuran Pengarah Urusan Palm Oil Analytics (Fastmarkets) Dr Sathia Varqa pada RM3,500 hingga RM3,700 satu tan. - DagangNews.com