SHAH ALAM, 9 SEPT: Lebih 300,000 pengunjung dijangka menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 yang dijadual kembali membuka tirainya pada 27 November di Pusat Konvensyen Setia City, di sini.
Ketua bahagian korporat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata pesta sehingga 3 Disember itu berjalan bersekali dengan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor yang julung kali diadakan bagi memperkasa sektor berkenaan.
Menurut Zafarullah Aris, SIBF bukan hanya disertai pemain industri tempatan malah turut menjemput beberapa negara sekali gus mampu memperluaskan lagi industri buku.

“Bulan lalu kita memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dua agensi pengendali buku dari China di Guangzhou sempena Pesta Buku China Selatan. Kali ini mungkin mereka akan sertai dan buka ruang pameran.
“Memandangkan program bersekali sidang pendidikan, kita yakin ramai akan berkunjung dan lebih daripada 300,000 yang direkodkan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata selain pelbagai aktiviti menarik termasuk cabutan bertuah, pengunjung juga berpeluang bertemu sasterawan negara sepanjang tujuh hari edisi ketiga ini berjalan.

SIBF julung kali dianjurkan pada 2022, merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak 2006.
Bermula tahun lalu, pentadbiran turut menganjur Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor bertempat di Kompleks PKNS, melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan.

The post Pesta Buku Antarabangsa Selangor kembali November ini, sasar lebih 300,000 hadir appeared first on Selangorkini.



