Pesta Kopi Melawati 2.0 sasar 5,000 pengunjung, lonjak ekonomi usahawan tempatan

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2026 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pesta Kopi Melawati 2.0 sasar 5,000 pengunjung, lonjak ekonomi usahawan tempatan

AMPANG JAYA, 8 OGOS: Pesta Kopi Melawati 2.0 menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya selepas edisi pertama tahun lalu berjaya menarik kira-kira 3,000 pengunjung.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli berkata sambutan menggalakkan itu mendorong penganjuran pesta berkenaan diperluaskan kepada dua hari pada tahun ini.

"Tahun lepas kita mendapat sambutan luar biasa dan di luar jangkaan dengan hampir 3,000 pengunjung. Sebab itu kita mengambil keputusan melaksanakannya untuk kali kedua.

"Tahun lepas kita buat sehari sahaja dan sudah mencapai hampir 3,000 pengunjung, jadi tahun ini kita menyasarkan 5,000 pengunjung," katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Melawati Square, Taman Melawati, hari ini.

Image from: Pesta Kopi Melawati 2.0 sasar 5,000 pengunjung, lonjak ekonomi usahawan tempatan
Pegawai Penyelaras DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli bercakap kepada media selepas Pesta Kopi Melawati 2.0 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Juwairiya berkata penyertaan usahawan turut meningkat lebih dua kali ganda daripada kira-kira 20 pada tahun lalu kepada hampir 50 untuk edisi kali ini.

Menurutnya, penganjuran tahun ini juga tidak hanya tertumpu kepada kopi dan makanan, sebaliknya merangkumi jualan pakaian terpakai, buku, barangan koleksi serta aktiviti sukan.

"Kita menggandakan jumlah usahawan berbanding tahun lepas daripada sekitar 20 kepada hampir 50 tahun ini.

"Dahulu kita hanya ada kopi dan makanan, tetapi kali ini ada pakaian terpakai, sukan, jualan buku dan barangan koleksi. Jadi kita menyasarkan kelompok pengunjung yang lebih pelbagai dari seluruh Selangor," ujarnya.

Beliau berkata keutamaan turut diberikan kepada usahawan sekitar Hulu Kelang termasuk Taman Melawati dan Keramat bagi menyediakan platform untuk mereka memperkenalkan serta memasarkan produk masing-masing.

Katanya, peluang itu bukan sahaja terbuka kepada usahawan yang mempunyai premis, malah peniaga kecil termasuk penjaja turut diberi ruang mengetengahkan produk mereka kepada pengunjung.

Juwairiya berkata impak ekonomi program berkenaan dapat dilihat menerusi maklum balas peniaga tahun lalu apabila ada dalam kalangan mereka berjaya mencatat jualan sehingga RM10,000 dalam tempoh sehari.

Image from: Pesta Kopi Melawati 2.0 sasar 5,000 pengunjung, lonjak ekonomi usahawan tempatan
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menandatangani plat perasmian ketika Pesta Kopi Melawati 2.0 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

"Kita mendapat maklum balas tahun lepas ada pengusaha yang dalam tempoh sehari, dari jam 8 pagi hingga 6 petang, memperoleh sehingga RM10,000 hasil jualan.

"Ini petanda komuniti tempatan menyokong usaha mereka dan program sebegini sebenarnya membuka ruang untuk meningkatkan ekonomi peniaga tempatan," ujarnya.

Beliau turut berharap premis makanan dan perniagaan sekitar Melawati Square menerima limpahan ekonomi daripada kehadiran pengunjung sepanjang pesta berkenaan.

Dalam pada itu, Juwairiya berkata Pesta Kopi Melawati 2.0 yang bertemakan ‘Kopi Kita dan Alam Kita’ turut menjadi platform mempromosikan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai destinasi pelancongan alam.

Image from: Pesta Kopi Melawati 2.0 sasar 5,000 pengunjung, lonjak ekonomi usahawan tempatan
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut serta dalam larian Melawati Coffee Run sempena Pesta Kopi Melawati 2.0 di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, Taman Melawati dan Kemensah yang terletak dalam DUN Hulu Kelang merupakan sebahagian daripada jajaran geopark berkenaan yang memiliki khazanah alam termasuk Bukit Tabur.

Katanya, usaha memperkenalkan geopark berkenaan kepada masyarakat penting bagi meningkatkan kesedaran terhadap khazanah alam setempat, sekali gus menggalakkan orang ramai bersama-sama menyokong usaha pemeliharaannya.

"Kita mahu memperkenalkan geopark ini kepada masyarakat umum dan menggalakkan mereka bersama-sama menyokong usaha menjadikannya antara tarikan pelancongan serta warisan negara.

"Ia juga mempunyai potensi sebagai tarikan kepada pencinta alam untuk datang dan meneroka kawasan ini," katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan Pesta Kopi Melawati diteruskan tahun depan susulan sambutan positif masyarakat, termasuk mempertimbangkan lokasi lain yang bersesuaian sekitar Taman Melawati.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved