
KANGAR – Festival Kraf Utara (FKU) 2026 bukan sekadar menjadi platform mempromosikan produk tempatan, malah membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan kraf menerusi jaringan bersama pembeli berpotensi dari pelbagai sektor.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, festival itu turut menjadi medium mempertemukan usahawan dengan syarikat pengeksport, agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli-belah.
“Festival ini menjadi platform terbaik untuk memperluaskan pasaran produk kraf tempatan, di samping mewujudkan rangkaian perniagaan antara usahawan dan pembeli berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Jelajah Mesra Festival Kraf Utara 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di sini kelmarin.

Menurut Shaharuddin, festival yang berlangsung selama 12 hari itu menghimpunkan 72 usahawan kraf dari seluruh negara membabitkan pelbagai bidang termasuk tekstil, hasil tanah, hasil logam, hasil rimba dan aneka kraf.
Katanya, FKU 2026 turut disertai 29 Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang mempamerkan pelbagai produk seperti batik, anyaman rotan, anyaman buluh, anyaman mengkuang, tempurung dan sulaman manik.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan, malah memperkukuh kelangsungan industri kraf tempatan melalui promosi dan padanan perniagaan,” katanya.
Terdahulu, Abu Bakar turut melepaskan 151 peserta Perlis Culture Ride yang berbasikal menuju ke Homestay Komuniti Kampung Rama dan Chalet Kurong Tegar.
Peserta kemudiannya disambut dengan pelbagai aktiviti kesenian termasuk persembahan kebudayaan serta demonstrasi makanan dan permainan tradisional.
Festival Kraf Utara 2026 berlangsung dari 23 Julai hingga esok di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Selain jualan produk kraf, festival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti bersama agensi kerajaan termasuk Program Jualan Rahmah MADANI, pameran keselamatan kebakaran, program derma darah, pertandingan mewarna dan pameran Askar Wataniah. -KOSMO! ONLINE
The post FKU 2026 buka pasaran baharu untuk usahawan kraf appeared first on Kosmo Digital.



