
Peserta dari 27 negara akan menyertai pesta ini
Pesta Layang-Layang Antarabangsa Borneo 2024 Bakal Diadakan Di Bintulu 25-29 September Ini. Dilaporkan, Pesta Layang-Layang Antarabangsa Borneo 2024 (BIKF) akan diadakan di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu @Lasar Kenyalang.
Pengurus Besar BDA, Datu Muhamad Yakup Kari, berkata antara aktiviti yang bakal diadakan termasuk persembahan layang-layang gergasi dan sukan, paparan taman angin, pameran gergasi Mr King Kong, glamping, perarakan, serta bengkel membuat layang-layang.

170 orang dari sembilan negeri (Malaysia) dan 27 negara akan menyertai
Pesta tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di mana ia melibatkan seramai 170 orang dari sembilan negeri (Malaysia) dan 27 negara lain akan menyertai BIKF 2024 kali ini.
Dengan penganjuran acara besar ini, beliau turut memaklumkan bahawa Lembaga Pelabuhan Bintulu, sebagai rakan strategik BDA, telah menyumbangkan sebanyak RM200,000 untuk BIKF 2024.
Beliau berharap agar pesta ini dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong untuk menghadiri festival, sekali gus meningkatkan daya tarikan dan imej antarabangsa acara berkenaan.

Penutupan jalan
Dalam masa yang sama turut dilaporkan bahawa, satu bahagian jalan berhampiran Lasar Kenyalang, tapak bekas Lapangan Terbang Bintulu Lama akan ditutup bagi memudahkan penganjuran Pesta Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) ke-17, yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 September.
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), penutupan jalan akan dilakukan dari jam 10 pagi hingga 6 petang sepanjang tempoh festival tersebut.



