
PETALING JAYA: “Kita perlu tegas dan kuat dari mula hingga minit ke-90”.
Itu merupakan mesej yang disampaikan jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon (gambar) kepada anak buahnya menjelang perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023, menentang India di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.
Pan Gon berkata tugas berat menanti pasukan negara kerana beliau menjangkakan mereka akan berdepan pasukan India yang lebih kuat di padang tuan rumah yang baru dinaik taraf itu.
“Seperti yang kita semua tahu ranking mereka menghampiri 100 terbaik (ke-102) dan pasukan teratas di Asia Selatan. Mereka agresif dan benar-benar bekerja keras (di padang).
“Mereka gemar memburu, mengejar bola dan membuat sentuhan yang kuat (terhadap pihak lawan). Jadi, elemen seperti itu akan menjadi sangat sukar untuk pasukan lawan,“ katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.
Berdasarkan persiapan setakat ini, Pan Gon bagaimanapun optimis bahawa pemainnya bersemangat untuk menentang India dan memberikan perlawanan yang menarik buat penyokong tuan rumah.
Pada masa sama, kapten Kuala Lumpur City FC berusia 54 tahun Paulo Josue terpaksa diketepikan daripada perlawanan itu kerana sakit.
Sambil mengakui hakikat bahawa beliau tidak tahu banyak tentang India sebelum ini, pemain pertahanan Matthew Davies memuji Pan Gon dan pasukan kejurulatihan atas kerja keras mereka dalam memberikan maklumat dan panduan dalam menentang pihak lawan nanti.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga tidak sabar untuk beraksi di padang baharu dan mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menaja kos penggantian rumput di stadium berkenaan kira-kira RM1.4 juta.
Stadium Nasional di Bukit Jalil menjalani pengubahsuaian termasuk menaman rumput jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput Cow Grass pada April lepas. -Bernama

