Peti sejuk mayat Hospital Kota Marudu rosak sejak 2 tahun lalu

1 Dec 2022 • 5:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Adun Bandau Datuk Wetrom Bahanda kesal kerana peti sejuk tempat menyimpan mayat di Hospital Kota Marudu telah rosak kira-kira dua tahun sehingga menyulitkan keluarga si mati.

Beliau berkata keadaan yang tidak dapat dielakkan itu menyebabkan mayat terpaksa dihantar ke Pitas dan ini tidak akan berlaku sekiranya pihak berkuasa berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) menangani masalah itu secara serius dan segera.

“Kami merayu kepada pihak berkenaan supaya meneliti perkara berbangkit ini kerana menyulitkan keluarga si mati. Semua ini berlaku kerana tiada usaha menaik taraf kemudahan sedia ada sejak sekian lama.

“Malah, kami meminta Kementerian Kesihatan menaik taraf kemudahan

dan peralatan perubatan lain di hospital Kota Marudu demi menyelamatkan nyawa dan menjaga kesihatan penduduk setempat yang semakin meningkat,” katanya.

Wetrom yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu yang baharu berkata demikian dalam ucapannya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2023 di Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Di samping itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan perlu melihat ke arah menaik taraf bangunan lama Hospital Kota Marudu serta peralatan perubatan untuk kegunaan pesakit seperti bekalan oksigen.

“Saya ingin merujuk kepada Hospital Kota Marudu yang bukan sahaja perlu dinaik taraf berikutan bangunannya yang usang tetapi juga keperluan untuk membaiki segala peralatan kritikal untuk kegunaan pesakit di daerah ini yang perlu dilaksanakan segera.

“Ini sangat penting kerana ia melibatkan nyawa pesakit yang memerlukan rawatan segera di mana beberapa peralatan hospital telah rosak. Selain itu, terdapat juga kekurangan bekalan perubatan seperti bekalan oksigen.

“Apabila berlaku kemalangan, saya difahamkan mangsa sudah tiba di hospital, mereka menerima oksigen hanya selepas 40 minit menyebabkan mangsa gagal diselamatkan.

“Jika ada oksigen dibekalkan lebih awal, mungkin nyawa mangsa boleh diselamatkan,” katanya.

Wetrom berkata, doktor pakar juga perlu ditempatkan di Hospital Kota Marudu bagi memudahkan pesakit menerima rawatan, dan kenderaan ambulans perlu ditambah untuk kegunaan hospital.

“Kami di Kota Marudu tidak mempunyai doktor pakar, cuma ada doktor yang baru atau masih dalam latihan.

“Begitu juga dengan kenderaan ambulans yang sangat diperlukan. Bayangkan jika berlaku kecemasan yang memerlukan pesakit dihantar ke Kota Kinabalu.” Katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai perhubungan jaringan jalan raya di seluruh negeri khasnya di kawasan pedalaman.

Katanya, usaha menaiktaraf jalan raya di semua kawasan seluruh negeri perlu diambil serius dan diberikan peruntukan yang lebih besar.

“Kota Marudu antara 10 daerah termiskin di Malaysia tetapi mempunyai hasil pertanian yang dipasarkan ke kawasan lain-lain.

“Untuk mengatasi masalah kemiskinan itu, usaha menaiktaraf perlu dilaksanakan dengan serius dan bukan sekadar di Kota Marudu, bahkan sewajarnya di seluruh negeri dan negara juga kerana jalan raya merupakan infrastruktur asas yang sangat penting.

“Fungsi sebagai jalan perhubungan, untuk tujuan pengangkutan dan banyak lagi, termasuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk luar bandar, apabila mereka dapat membawa keluar hasil tanaman dan ternakan mereka untuk dipasarkan ke luar daerah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.