Petik Nama Ibu bapa! Arraf Terkilan Dengan Teguran Kasar Netizen - “Saya Ambil Nasihat Tersebut Tapi…”

18 Jul 2025 • 5:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Penyanyi dan ahli kumpulan Alpha, Arraf akui terkilan dengan teguran yang diberikan netizen terhadapnya.

Jelas Arraf, dia terbuka dan boleh menerima segala kritikan namun apa yang disampaikan oleh netizen agak kasar kerana menyentuh mengenai ibu bapanya serta keluarga.


“Mereka kata sila jaga perangai, jangan terlalu random. Saya ambil nasihat tersebut tapi bagi saya teguran yang diberikan itu terlalu kasar.

“Ayat yang mereka berikan itu pedih dan panjang, terus terang saya cakap memang tak sopan sebab penuh kata maki dan cacian, main nama ibu bapa, keluarga tapi saya bersyukur masih lagi boleh kawal mental saya,” katanya.


Pada awalnya, Arraf akui menganggap komen-komen tersebut sekadar gurauan atau mungkin cerminan rasa tidak puas hati pihak tertentu.

Bagaimanapun, selepas menerima banyak komen yang sama, penyanyi muda tersebut mengambil pendekatan untuk menjaga kelakuannya.


“Pada awalnya saya hanya anggap benda itu sebagai gurauan sahaja sebab bila orang bagi ayat pelik-pelik ni saya rasa benda itu biasa, macam mungkin orang dengki tapi lama-lama saya baca banyak pulak, bukan sikit tau. Mereka minta saya tone down jadi saya ambil nasihat itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Arraf juga menegaskan dia tidak menyimpan dendam terhadap kecaman yang diterima sebaliknya melihat situasi itu sebagai satu peluang untuk memperbaiki diri.


“Saya tak ambil hati dengan kata-kata mereka dan saya bukannya berubah secara drastik. Saya cuba ambil yang positif sahaja yang negatif kita abaikan. Saya tengok balik video saya mana yang tak betul tu saya tak buat dah.

“In future pun saya akan cuba kawal dan behave, kita faham ini semua adalah untuk tontonan umum,” ujarnya.