PETRONAS ambil alih pegangan Aramco dalam PRefChem di Pengerang

LocalBusiness & Finance
26 May 2026 • 9:27 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS ambil alih pegangan Aramco dalam PRefChem di Pengerang Image from: PETRONAS ambil alih pegangan Aramco dalam PRefChem di Pengerang hamden26/05/2026 - 09:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Mei - Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) akan mengambil alih sepenuhnya pegangan ekuiti milik Saudi Arabian Oil Company (Aramco) dalam projek Penapisan dan Petrokimia Bersepadu Pengerang (PRefChem) menerusi anak syarikatnya, PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn. Bhd. (PRPC).

 

PETRONAS dalam kenyataan berkata, PRPC telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih kepentingan Aramco dalam Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. dan Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. yang secara kolektif dikenali sebagai PRefChem.

 

Katanya, selepas memenuhi syarat penutupan lazim, PRefChem yang terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor akan dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh kumpulan PETRONAS.

 

Menurut syarikat minyak nasional itu, perkembangan semasa dalam pasaran tenaga global menuntut keanjalan operasi lebih tinggi khususnya bagi aset tenaga strategik negara.

 

“Pemilikan penuh PRefChem akan memperkukuh keupayaan PETRONAS dalam menyokong keselamatan tenaga jangka panjang Malaysia serta meningkatkan daya tahan industri negara,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

 

PETRONAS berkata, pengambilalihan itu juga membolehkan syarikat mengambil kawalan penuh terhadap keseluruhan rantaian nilai PRefChem selain mempertingkat penyelarasan operasi dan fleksibiliti perniagaan.

 

Langkah tersebut turut membolehkan PETRONAS memanfaatkan rangkaian bekalan minyak antarabangsa serta model operasi bersepadu bagi memastikan kebolehpercayaan operasi terus kukuh dalam keadaan pasaran yang mencabar.

 

Pada masa sama, PETRONAS menjelaskan urusan bekalan minyak mentah antara Aramco dan syarikat itu di bawah perjanjian komersial sedia ada tidak terjejas oleh transaksi berkenaan.

 

PETRONAS turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh keselamatan tenaga negara serta memperluaskan kerjasama antarabangsa dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai negara tenaga progresif di peringkat global. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved