Petronas Gas catat untung bersih RM424 juta dalam 1QFY23 didorong peningkatan harga gas
diyana
22/05/2023 - 15:05
KUALA LUMPUR 22 Mei - Petronas Gas Berhad telah mencatatkan peningkatan 3.3% dalam keuntungan bersih kepada RM424 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada RM410.6 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku ini juga telah meningkat 15% kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.46 juta sebelumnya, didorong oleh sektor utiliti selaras dengan harga produk yang lebih tinggi.
Petronas Gas juga mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham, bersamaan RM316.6 juta, jumlah yang sama dengan suku yang sama tahun lepas.
Dividen tersebut akan diagihkan pada 20 Jun kepada pemegang saham dengan tarikh akhir kelayakan pembayaran dividen pada 7 Jun.
Kumpulan itu berkata pengagihan dividen itu menonjolkan daya tahan Petronas Gas mengekalkan prestasi dalam keadaan pasaran yang mencabar.
Menurut kumpulan itu, segmen utiliti mencatatkan pendapatan tertinggi didorong oleh peningkatan Harga Rujukan Malaysia (MRP), harga gas, yang mencapai kemuncaknya sebanyak RM58 setiap satu juta unit terma British (MMBtu) pada 1QFY23, diimbangi oleh kos gas lebih tinggi yang hanya sebahagiannya disalurkan kepada pelanggan.
“Pada masa yang sama, Petronas Gas mencatatkan pendapatan berkurang daripada perniagaan terkawalnya kerana kumpulan menjalani Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) kedua di bawah peraturan berasaskan insentif (IBR) dari 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025, menjadikan tarif yang dikenakan oleh kumpulan lebih rendah,” katanya sambil menambah segmen pengangkutan gas dan penggasan semula turut terkesan.
Di samping itu, keuntungan bersih kumpulan meningkat disebabkan kenaikan pendapatan faedah daripada pelaburan dana, sebahagian besar keuntungan daripada syarikat usaha sama dan pengurangan cukai kerana Cukai Kemakmuran yang dikenakan pada tahun 2022 tidak lagi terpakai untuk tahun ini.
Mengulas tentang prestasi kumpulan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Aziz Othman berkata kumpulan itu menjangkakan MRP akan berkurangan pada suku-suku mendatang walaupun MRP berada pada kemuncaknya pada 1QFY23.

Beliau menambah, prestasi Petronas Gas dijangka kekal teguh dan sihat, disokong oleh tumpuan berterusan kami pada kecemerlangan operasi dan kontrak pendapatan yang stabil.
“Kumpulan sedang giat mengejar peluang yang dikenal pasti memanfaatkan pengetahuan dan keupayaan intrinsik kami.
Kami juga berharap dapat memainkan peranan penting dalam penangkapan karbon dan rantaian nilai simpanan Petronas,” ulas beliau mengenai hala tuju jangka panjang syarikat. -DagangNews.com

