PETRONAS Gas laksana semakan tarif pengangkutan, regasifikasi RP3 bermula 2026

LocalBusiness & Finance
29 Dec 2025 • 10:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS Gas laksana semakan tarif pengangkutan, regasifikasi RP3 bermula 2026 image is not available haziq29/12/2025 - 10:16 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Dis – PETRONAS Gas Bhd (PGB) dan Gas Malaysia Bhd (GMB) akan melaksanakan semakan tarif pengangkutan gas dan regasifikasi di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028 susulan kelulusan kerajaan Malaysia.

 

Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia, PGB memaklumkan keputusan itu disampaikan oleh Suruhanjaya Tenaga menerusi surat yang diterima pada 24 Disember lalu.

 

Di bawah RP3, PGB berkata tarif asas pengangkutan Peninsular Gas Utilisation (PGU) ditetapkan pada RM1.196 per GJ sehari dengan tarif dibenarkan sebanyak RM1.204 per GJ sehari bagi tahun 2026.

 

Bagi bekalan gas bertekanan tinggi ke Singapura, tarif pemampatan ditetapkan pada tarif asas RM1.609 per GJ sehari manakala tarif dibenarkan adalah RM1.592 per GJ sehari.

 

Untuk perkhidmatan regasifikasi pula, Terminal Regasifikasi Sungai Udang (RGTSU) akan mengenakan tarif asas RM3.542 per GJ sehari dan tarif dibenarkan RM3.540 per GJ sehari.

 

Sementara itu, Terminal Regasifikasi Pengerang (RGTP) akan menggunakan tarif asas RM3.142 per GJ sehari dengan tarif dibenarkan sebanyak RM3.103 per GJ sehari.

 

Menurut PGB, semakan tarif ini mencerminkan komitmen bersama antara syarikat dan kerajaan terhadap ketelusan, kecekapan kos serta daya tahan jangka panjang industri gas negara di samping mengekalkan struktur tarif yang kompetitif.

 

Tarif berkenaan ditentukan di bawah rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR) yang bertujuan memastikan bekalan gas yang selamat dan boleh dipercayai kepada pengguna.

 

Sementara itu, GMB dalam pemakluman berasingan mengumumkan Tarif Purata Asas bagi pengguna Sistem Pengagihan Gas Asli yang dikendalikan oleh anak syarikat milik penuhnya, Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD), ditetapkan pada RM1.88 per GJ sehari bagi tempoh yang sama.

 

Tarif pengagihan di bawah rangka kerja IBR bagi semua jenis penggunaan pula ditetapkan pada RM2.114 per GJ sehari untuk keseluruhan tahun 2026 selepas mengambil kira pelarasan tarif tahunan IBR. - DagangNews.com

Terkini standard