amree26/11/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — Sisa buangan kilang kelapa sawit Malaysia kini berpotensi menjadi sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk pasaran global dengan PETRONAS berjaya melakukan penghantaran pertama gas asli cecair bio (Bio-LNG) ke Jepun menerusi kerjasama dengan Tokyo Gas Co Ltd.
Penghantaran sulung yang memperoleh pensijilan International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) PLUS itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS LNG Ltd (PLL), sekali gus membuka laluan baharu bagi bekalan gas RE antara kedua-dua negara.
Menurut kumpulan tersebut, Bio-LNG berkenaan dihasilkan berasaskan efluen kilang minyak sawit (POME), iaitu hasil sisa buangan daripada proses pengeluaran minyak sawit yang boleh diproses untuk menghasilkan biometana sebelum ditukarkan kepada gas asli cecair (LNG).
"Pencapaian itu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai PETRONAS dan Tokyo Gas pada 27 Oktober 2026 bagi memperluas kerjasama merentasi rantaian nilai LNG serta meneroka peluang penyahkarbonan," kata PETRONAS dalam kenyataan pada Khamis.
Penghantaran berkenaan jelasnya, turut menyokong usaha Tokyo Gas dalam memenuhi sasaran Jepun untuk memperkenalkan 1% gas boleh diperbaharui, termasuk e-metana dan biometana, dalam bekalan gas bandar negara tersebut menjelang 2030.
PETRONAS berkata, kargo pertama Bio-LNG itu digabungkan bersama-sama LNG konvensional di Terminal Regasifikasi Pengerang (RGTP), Johor, dengan sumber bekalan diperoleh PLL menerusi PETRONAS Energy & Gas Trading Sdn Bhd (PEGT).

Bekalan itu kemudiannya disalurkan menggunakan infrastruktur LNG sedia ada PETRONAS yang dikendalikan PETRONAS Gas Berhad (PGB), sekali gus membuktikan keupayaan bersepadu kumpulan berkenaan dalam membekalkan penyelesaian tenaga rendah karbon ke pasaran antarabangsa.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, pencapaian itu membuktikan kekuatan kumpulan menggabungkan keupayaan mendapatkan sumber biometana, infrastruktur sedia ada, kepakaran komersial dan akses pasaran bagi membekalkan alternatif tenaga seperti Bio-LNG.
"Potensi biometana Malaysia yang digabungkan dengan skala, kebolehpercayaan dan capaian pasaran portfolio LNG PETRONAS mampu membuka laluan kepada bekalan gas boleh baharu ke pasaran antarabangsa tanpa menjejaskan jaminan keselamatan tenaga pelanggan," jelas beliau.
Tambahnya, kerjasama rapat dengan Tokyo Gas dalam memenuhi keperluan rantaian bekalan Bio-LNG turut menjadi faktor penting bagi merealisasikan penghantaran pertama dari Malaysia ke Jepun, selain menyediakan asas untuk memperluas penyelesaian penyahkarbonan di rantau ini.
PETRONAS memaklumkan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Strategi Peralihan Tenaganya serta usaha mencapai sasaran Pelepasan Karbon Bersih Sifar menjelang 2050, di samping meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam sektor tenaga lebih bersih dan rendah karbon. - DagangNews.com




