sarah25/11/2026 - 12:03 KUALA LUMPUR 25 Nov - Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menjangkakan pasaran gas asli cecair (LNG) global terus berdepan kekangan bekalan pada 2027, dengan perkembangan geopolitik dan kadar pemulihan bekalan dijangka terus mempengaruhi penawaran serta harga pasaran.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, prospek itu bergantung kepada beberapa faktor, termasuk tempoh konflik di Asia Barat dan kadar pemulihan kapasiti bekalan LNG yang terjejas.
“Kami menjangkakan proses pemulihan akan mengambil masa, mengambil kira kesannya terhadap bekalan LNG.
“Menjelang tahun depan, kami menjangkakan bekalan pasaran kekal agak terhad, yang boleh terus menyokong harga LNG sehingga lebih banyak bekalan tersedia,” katanya kepada pemberita pada taklimat media sempena majlis penamaan kemudahan LNG terapung ketiga PETRONAS, PFLNG Tiga, di sini pada Isnin (23 November).
Adif berkata, ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan dijangka beransur reda apabila pengeluaran yang terjejas kembali pulih dan bekalan tambahan LNG memasuki pasaran.
Beliau berkata, perkembangan geopolitik terkini memperkukuh kepentingan portfolio LNG PETRONAS yang pelbagai dan bersepadu, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan bekalan kepada pelanggan serta meningkatkan daya tahan ketika berlaku gangguan pasaran.
PETRONAS terus mengimbangi bekalan daripada pengeluaran sendiri dengan sumber pihak ketiga, di samping mengekalkan gabungan perjanjian komersial jangka panjang dan jangka pendek bagi memastikan fleksibiliti portfolio serta memenuhi keperluan pelanggan.
Syarikat itu turut memperluas sumber bekalannya ke pelbagai rantau geografi bagi melengkapi kedudukannya yang kukuh di Asia Pasifik, sekali gus meningkatkan daya tahan keseluruhan portfolio LNG.






