Petronas kukuh kerjasama dengan Mercedes F1, undang Kimi Antonelli lawat pusat R&T di Itali

15/05/2025 - 12:06
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 15 Mei - Petronas terus mengukuhkan kerjasama dengan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One (F1) sempena ulang tahun ke-15 kerjasama mereka, dengan menjemput pemandu muda Kimi Antonelli melawat Pusat Penyelidikan dan Teknologi (R&T) Petronas di Turin, Itali.
Lawatan itu adalah sebahagian daripada proses pengenalan Antonelli kepada operasi Petronas.
Ia diadakan menjelang perlumbaan Grand Prix Emilia Romagna hujung minggu ini.
Sepanjang lawatan, Antonelli diberi pendedahan kepada teknologi cecair berprestasi tinggi yang membantu pasukan F1 berjaya di litar.

Petronas adalah penaja dan rakan teknikal utama pasukan F1 tersebut, yang membangunkan bahan api, pelincir dan cecair istimewa yang bukan sahaja digunakan di litar, tetapi juga untuk kereta biasa dan kenderaan elektrik (EV).
Naib Presiden Kanan Petronas Ir. Norafizal Mat Saad berkata, lawatan teknikal itu melambangkan kerjasama jangka panjang dengan pasukan Mercedes-AMG Petronas F1.
"Selama 15 tahun, kami bekerjasama untuk mencipta teknologi cecair yang lebih maju bagi kegunaan perlumbaan dan harian," katanya dalam satu kenyataan.
Pada lawatan tersebut, Antonelli disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants International (PLI), Khalil Muri.
Beliau dibawa melawat makmal berteknologi tinggi bagi melihat bagaimana produk pelincir dan bahan api dibangunkan oleh pasukan pakar Petronas.
Antonelli dalam pada itu berkata, beliau sangat teruja melawat pusat R&T PETRONAS di Itali, terutama menjelang perlumbaan di negara asalnya.

"Kita tahu betapa pentingnya cecair dan pelincir, tetapi melihat sendiri bagaimana ia dihasilkan dengan terperinci, ia memberi saya perspektif baharu.
"Sebagai pemandu, ia memberikan saya keyakinan. Saya bangga menjadi sebahagian daripada kerjasama ini," jelasnya.
Khalil pula berkata, lawatan tersebut menunjukkan pentingnya peranan PLI dalam menghasilkan teknologi inovatif dan mesra alam.
"Teknologi dari perlumbaan ini juga digunakan dalam kehidupan harian," ujarnya.
Perlumbaan hujung minggu ini amat bermakna buat Antonelli kerana ia merupakan perlumbaan F1 pertamanya di negara sendiri.
Selama 15 tahun bekerjasama, Petronas dan pasukan F1 telah memenangi lapan kejuaraan dunia dan lebih 120 perlumbaan. - DagangNews.com
standard

