
Menceritakan kepentingan meneruskan adat dan tradisi masyarakat Iban untuk generasi akan datang
Petronas Lancar Filem ‘Pesan Inik’ Semperna Perayaan Gawai Dayak. PETRONAS telah melancarkan filem terbarunya bertajuk “Pesan Inik” (Nasihat Nenek), sempena sambutan perayaan Gawai Dayak.
Menurut sumber, filem ini mengisahkan lima biji permata nasihat daripada seorang nenek, yang menjadi pegangan masyarakat Iban dan peringatan kepada generasi muda untuk mengekalkan adat, tradisi dan nilai moral.

Dengan pendekatan yang unik, PETRONAS memaparkan puisi Iban dikenali sebagai ‘Leka Main’, dipersembahkan sepenuhnya dalam bahasa Iban.
Ia merakamkan sambutan meriah perayaan Hari Gawai dalam suasana rumah panjang moden di Rumah Panjang Thomas Sigat di Saratok, Sarawak.
Diarahkan oleh pengarah terkenal Faizul Jais, filem itu turut mengetengahkan ‘belikan’ atau lute bot, alat muzik tradisional Iban yang hampir pupus, bersama permainan tradisional ‘batak lampung’ yang biasa dimainkan semasa perayaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh memuji webfilem ini kerana berjaya menangkap intipati sambutan Gawai, dengan menyampaikan naratif yang mendalam bagi setiap rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Dayak.
“Ia mencerminkan kehidupan berkomuniti, nilai-nilai Sarawakian dan aspirasi kita. Ia peringatan bahawa kita lebih kuat bersama, dan kepelbagaian budaya kita adalah kekuatan terbesar,” ujarnya menerusi laporan media tempatan.
“Nenek moyang kita meninggalkan warisan yang begitu kaya yang perlu kita hargai dan kekalkan. Tradisi dan adat yang diwarisi adalah sumber inspirasi dan panduan, dan terus membentuk identiti kolektif kita.
Untuk makluman, ‘Pesan Inik’ boleh ditonton di saluran YouTube rasmi PETRONAS dan laman Facebook.
