
‘Op Lancar’ akan dilakukan dari 30 Mei hingga 4 Jun
Polis Sarawak Lancar ‘Op Lancar’ Sempena Perayaan Gawai Dayak. Polis Sarawak akan melancarkan ‘Operasi Lancar’ di seluruh negeri dari 30 Mei hingga 4 Jun sempena Perayaan Gawai Dayak.
Menurut laporan dalam satu kenyataan hari ini, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata kira-kira 400 pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak akan dikerahkan untuk operasi enam hari itu bagi memastikan pergerakan trafik lancar.

“Fokus akan diberikan kepada jalan persekutuan, Negeri dan bandar, terutamanya di kawasan kemalangan kerap berlaku, termasuk di lokasi strategik yang sering mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya.
PDRM Sarawak nasihat orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya
Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan mengikut arahan yang diberikan oleh pegawai penguatkuasaan bertugas sepanjang tempoh operasi.
Beliau juga memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar peraturan lalu lintas.
Sementara itu, Mancha mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan supaya memaklumkan kepada balai polis tempatan supaya rondaan dapat dilakukan ke kawasan perumahan mereka.

