Petronas Lubricants, Quaker Houghton jalin kerjasama sedia rumusan kerja logam di Malaysia dan India

17/04/2025 - 14:40
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 17 April - Petronas Lubricants International (PLI) menjalinkan kerjasama strategik dengan pakar cecair proses industri Quaker Houghton bagi menyediakan rumusan kerja logam (metalworking) yang lebih maju di Malaysia dan India.
Kerjasama itu dijangka meningkatkan keupayaan kedua-dua syarikat untuk menyediakan produk dipercayai, rumusan yang disesuaikan, serta perkhidmatan nilai tambah kepada sektor industri utama di kedua-dua negara.
Dengan memanfaatkan kedudukan pasaran kukuh PLI dan portfolio canggih Quaker Houghton, kerjasama itu akan menawarkan rangkaian cecair industri yang lebih luas bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang.
Bermula pada suku kedua tahun 2025, PLI akan bertindak sebagai pengedar eksklusif bagi cecair kerja logam berprestasi tinggi milik Quaker Houghton kepada segmen pengangkutan dan industri di Malaysia.
Di India, Quaker Houghton akan menawarkan rangkaian pelincir penyelenggaraan berprestasi tinggi dan cecair industri milik PLI kepada pelanggan mereka di kilang keluli.
Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan PLI, Domenico Ciaglia berkata, syarikat komited untuk membina pakatan jangka panjang yang akan memberikan ketersediaan produk dan kualiti perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan sekali gus mengukuhkan kedudukan PLI sebagai rakan pilihan dalam pelincir industri global.
“Kami yakin pasukan di Quaker Houghton berkongsi visi kami yang berorientasikan masa depan dan mereka berada dalam kedudukan unik untuk membuka peluang bersama kami — baik dalam menjangkau pasaran baharu mahupun menjadi rakan strategik bagi memimpin industri ke era baharu perkhidmatan yang efektif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Quaker Houghton merangkap Ketua Pegawai Pertumbuhan Global Jeewat Bijlani berkata, Asia merupakan antara pasaran utama mereka dan kerjasama itu membolehkan syarikat memberikan cecair kerja logam Quaker Houghton kepada lebih ramai pelanggan.
“PLI mempunyai pengalaman, reputasi, dan saluran yang terbukti untuk menyokong keperluan pelanggan serta memperluas capaian kami di Malaysia,” katanya.
Kerjasama itu mencerminkan tumpuan kedua-dua syarikat terhadap penyediaan rumusan industri yang praktikal sambil menangani keperluan pengilangan moden yang semakin berubah.
PLI dan Quaker Houghton juga akan bekerjasama bagi meningkatkan prestasi dalam aplikasi industri. - DagangNews.com
standard


