Petronas luluskan dividen RM32 bilion kepada kerajaan pada 2024

Business & Finance
15 Mar 2024 • 6:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Petronas luluskan dividen RM32 bilion kepada kerajaan pada 2024

diyana

15/03/2024 - 18:54

KUALA LUMPUR 15 Mac - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah meluluskan sejumlah RM32 bilion dividen kepada kerajaan bagi 2024.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha berkata Petronas akan membayar sejumlah RM32 bilion dividen kepada kerajaan pada 2024.

“Lembaga telah meluluskan pembayaran dividen sebanyak RM32 bilion yang akan dibayar antara April dan Disember. Ia baru sahaja diluluskan semalam,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, syarikat minyak dan gas negara itu telah membuat pembayaran dividen berjumlah RM40 bilion pada 2023 dan RM50 bilion bagi 2022.

“Setelah menilai dengan teliti kemampuan kumpulan untuk terus membiayai operasi, membayar hutang dan memenuhi obligasinya serta melabur dalam pertumbuhan, Petronas tahun lepas membuat pembayaran dividen RM40 bilion kepada kerajaan,” katanya pada sesi pengumuman prestasi kewangan kumpulan bagi 2023 hari ini.

Syarikat minyak negara itu juga menunaikan komitmennya kepada Kumpulan Wang Amanah Nasional dengan sumbangan RM2 bilion pada 2023.

Petronas mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM80.7 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) berbanding RM101.6 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya dipengaruhi purata harga realisasi yang lebih rendah.

Pendapatannya pada FY23 susut kepada RM343.6 bilion daripada RM372.3 bilion sebelumnya.

Bagi suku keempat, keuntungan bersih syarikat itu berkurangan kepada RM16.6 bilion daripada RM24.4 bilion, manakala pendapatan turun kepada RM91.7 bilion daripada RM104.2 bilion. - DagangNews.com