liza23/11/2026 - 12:08 Wakil rakan industri, agensi kerajaan dan institusi latihan menghadiri program sulung VISTA i-plus Engagement Network di wilayah Pantai Timur bagi mempererat kerjasama dalam meningkatkan kesediaan tenaga kerja sektor perkhidmatan minyak, gas dan tenaga (OGSE) di wilayah berkenaan menghadapi keperluan industri masa hadapan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com DUNGUN 23 Nov – PETRONAS memperluas inisiatif pembangunan bakat VISTA i-plus ke Pantai Timur menerusi kerjasama dengan pemain industri, agensi kerajaan dan institusi latihan bagi meningkatkan kesediaan tenaga kerja berkemahiran untuk sektor perkhidmatan minyak, gas dan tenaga (OGSE).
Peluasan itu dilaksanakan menerusi VISTA i-plus Engagement Network (VEN) yang menghimpunkan pihak berkepentingan dari wilayah Pantai Timur dalam satu platform bagi membincangkan keperluan tenaga kerja, tahap kesediaan bakat serta jangkaan industri.
Penganjuran di Terengganu itu merupakan edisi sulung VEN di Pantai Timur dan peluasan pertama inisiatif berkenaan ke luar wilayah selatan.
VISTA i-plus merupakan inisiatif diterajui industri yang bertujuan meningkatkan kesediaan dan kebolehpasaran bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya bagi memenuhi keperluan sektor OGSE.
Kerjasama industri perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan
Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia (MOGSC), Zahris Sham Abu Musa berkata, pemain industri memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keperluan tenaga kerja masa hadapan serta membentuk kandungan latihan yang bersesuaian dengan kehendak industri.

Beliau berkata, kerjasama itu turut merangkumi pendedahan kepada persekitaran pekerjaan sebenar, penyediaan latihan industri dan peluang pembelajaran berasaskan pekerjaan, selain mewujudkan laluan kerjaya yang jelas kepada graduan TVET.
“Usaha berkenaan memerlukan komitmen bersama semua pihak untuk menyelaraskan inisiatif, berkongsi tanggungjawab dan memastikan perbincangan yang dijalankan diterjemahkan kepada Tindakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran VISTA i-plus Engagement Network (VEN) di Paka, Terengganu.
Peluasan ke Pantai Timur perkukuh ekosistem bakat wilayah
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan PETRONAS, Akmal Niza Ahmad berkata, perubahan pesat landskap tenaga kerja memerlukan kerjasama lebih erat antara semua pihak dalam membangunkan kumpulan bakat yang bersedia memenuhi keperluan masa hadapan.
Beliau berkata, peluasan VEN ke Pantai Timur mencerminkan komitmen PETRONAS untuk memperkukuh ekosistem pembangunan bakat di peringkat wilayah serta memastikan latihan TVET terus seiring dengan perubahan keperluan industri.
Menurutnya, tumpuan VISTA i-plus bukan sahaja untuk melahirkan tenaga kerja mahir, malah membina kerjasama lebih erat bagi meningkatkan kebolehpasaran, kemampanan tenaga kerja dan daya saing industri.
Pelan peluasan tiga tahun sasar lebih banyak wilayah
Mengambil kira perkembangan daripada pelaksanaan projek rintis di wilayah selatan pada 2025, rakan kerjasama VISTA i-plus akan meneruskan kerjasama dengan pemain industri bagi memperluas jangkauan program itu ke pelbagai wilayah di Malaysia.
Usaha berkenaan akan dilaksanakan menerusi pelan peluasan selama tiga tahun bagi memperluas kerjasama antara industri, agensi kerajaan dan institusi latihan dalam pembangunan tenaga kerja TVET
Untuk maklumat lanjut mengenai VISTA i-plus, orang ramai boleh mendapatkan perinciannya dengan melayari laman sesawang PETRONAS di https://www.petronas.com/careers/students-graduates. - DagangNews.com



