Petronas, TotalEnergies, Mitsui bangunkan hab simpanan karbon di luar pesisir Semenanjung

Business & Finance
24 Oct 2026 • 7:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Petronas, TotalEnergies, Mitsui bangunkan hab simpanan karbon di luar pesisir Semenanjung

PETALING JAYA: Petronas menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas CCS Ventures Sdn. Bhd. (PCCSV), memeterai perjanjian usaha sama dengan TotalEnergies EP CCS Malaysia dan Mitsui & Co., Ltd. bagi membangunkan kawasan penyimpanan karbon di luar pesisir Semenanjung Malaysia.

Perjanjian Usaha Sama (JVA) itu merupakan langkah penting dalam pembangunan Hab Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) Selatan Malaysia yang bertujuan menyediakan kemudahan penyimpanan karbon dioksida (CO2) secara selamat dan jangka panjang untuk menyokong usaha penyahkarbonan industri.

Fasa pertama projek itu menyasarkan penggunaan medan gas yang telah kehabisan simpanan di luar pesisir Semenanjung Malaysia, dengan kapasiti suntikan CO2 sehingga lima juta tan setahun.

Suntikan pertama CO2 disasarkan seawal 2031, tertakluk kepada kesiapsiagaan industri.

Dalam kenyataan bersama memaklumkan, perjanjian berkenaan menetapkan kerangka penubuhan sebuah syarikat usaha sama khusus bagi meneruskan pembangunan, pengkomersialan dan pengoperasian kawasan penyimpanan karbon itu.

“Perjanjian berkenaan turut memperkukuh komitmen bersama ketiga-tiga rakan strategik untuk mempercepat penggunaan teknologi CCS bagi menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon di rantau Asia Pasifik.

“Kerjasama itu dibangunkan susulan perjanjian pembangunan CCS yang dimeterai pada 2023, sebelum berkembang kepada Perjanjian Prinsip Utama pada 2025 yang menjadi asas kepada aktiviti reka bentuk kejuruteraan hadapan (FEED) dan pembentukan struktur usaha sama,” menurut kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif PCCSV, Emry Hisham Yusoff berkata, perjanjian itu mencerminkan kerjasama kukuh yang dibina bersama rakan strategik sejak peringkat awal kajian pembangunan sehingga pelaksanaan aktiviti FEED.

“Gabungan kepakaran Petronas dalam bidang bawah permukaan, pengalaman global TotalEnergies dalam pembangunan CCS serta keupayaan Mitsui dalam pembangunan komersial, pelaburan projek dan logistik akan membantu mematangkan projek berkenaan.

“Kami yakin dapat mengekalkan momentum ke arah mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dalam masa terdekat, selain memajukan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab CCS serantau terkemuka,” katanya.

Hab CCS Selatan Malaysia dirancang untuk menerima CO2 dari dalam dan luar negara, termasuk potensi penghantaran rentas sempadan, bagi membantu industri yang sukar mengurangkan pelepasan karbon melalui kaedah konvensional.

Pembangunan kawasan penyimpanan itu juga dijangka menyokong usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab CCS serantau, khususnya dalam menyediakan penyelesaian penyimpanan karbon jangka panjang bagi sektor perindustrian yang mempunyai pelepasan tinggi.

Ketiga-tiga rakan usaha sama kini akan memberi tumpuan kepada pemantapan aspek teknikal dan komersial projek penyimpanan karbon fasa pertama sebelum keputusan pelaburan akhir dibuat.-UTUSAN

 

The post Petronas, TotalEnergies, Mitsui bangunkan hab simpanan karbon di luar pesisir Semenanjung appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved